fbpx

CWC: Al-Hilal mahu terus berfantasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AL-HILAL muncul wakil tunggal yang membawa cabaran benua Asia apabila turun berdepan Fluminense untuk merebut slot separuh akhir awal pagi esok. - AFP

ORLANDO – Selepas berjaya mencatat keputusan mengejutkan dengan menghantar pulang pasukan pilihan, Manchester City pulang lebih awal, gergasi Arab Saudi, Al-Hilal semakin yakin bahawa mereka tidak lagi boleh disekat.

Pada aksi pusingan 16 terbaik yang dianggap perlawanan paling dramatik pada kempen Piala Dunia Kelab (CWC) kali ini, Al-Hilal berjaya menewaskan City yang dicanang sebagai calon pilihan juara 4-3.

Kejayaan itu nyata menambah keyakinan buat skuad kendalian Simone Inzaghi itu bahawa mereka mampu untuk menggalas tugas selaku wakil tunggal benua Asia untuk memburu penamat terbaik pada kempen sulung saingan dengan format baharu kali ini.

Bagi pemain pertahanan, Sergej Milinkovic-Savic, aksi tanpa kalah di peringkat kumpulan terutama ketika mengikat Real Madrid adalah sangat luar biasa dan keyakinannya dan seluruh pemain semakin memuncak apabila berjaya menafikan jangkaan ramai ketika membenam City.

“Apa yang kami lakukan ketika menewaskan City adalah sangat istimewa. Kami menentang salah satu pasukan terbaik di dunia dan kemenangan itu memberikan kami motivasi besar untuk menghadapi aksi seterusnya.

“Sejarah yang dicatat itu adalah satu penghargaan luar biasa buat kami para pemain, untuk kelab dan negara ini (Arab Saudi). Kami sangat percaya diri setiap saat di padang dan kami berjaya menyelesaikan tugas,” katanya.

Menjelang aksi suku akhir menentang jaguh Brazil, Fluminense awal pagi esok, Inzaghi pastinya mengharapkan keampuhan Milinkovic-Savic yang akan mengetuai jentera serangan bagi mengekang asakan lawan mereka itu.

Selain itu, ketajaman Marcos Leonardo pastinya terus menjadi sandaran untuk skuad dengan gelaran ‘The Boss’ mencipta satu lagi kejutan ketika kekuatan kedua-dua pasukan dianggap seimbang sekali gus membawa mereka mara ke kelompok empat pasukan terbaik.

Sementara itu, keputusan berani Al-Hilal memecat Jorge Jesus pada Mei lalu mencetuskan kontroversi ketika pasukan itu akan menyertai saingan CWC, namun pertaruhan itu berbaloi apabila mereka berjaya mendapatkan sentuhan Inzaghi yang berjaya memberi impak segera.

“Kami tiba di sini dengan penuh kesukaran. Saya dilantik kira-kira 10 hari sebelum kempen ini bermula dan ia bukan tugas mudah. Namun, pasukan ini memiliki kerjasama yang utuh.

“Kami bukan sekadar untuk menjadi pelengkap jadual atau melancong di sini, kami memiliki objektif yang jelas untuk saingan ini dan berjaya melepasi pusingan kalah mati. Sekarang kami berpeluang ke separuh akhir dan perlu memanfaatkannya,” jelas Inzaghi. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI