fbpx

Suami isteri dicekup sorok lebih 19 kg pil kuda dalam timbunan najis lembu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mat Zani (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian pil kuda yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Pasir Mas hari ini. FOTO ROHANA ISMAIL

PASIR MAS – Taktik licik sepasang suami isteri yang merupakan pemilik sebuah kedai makan menyembunyikan dadah jenis pil kuda seberat 19.86 kilogram (kg) di dalam timbunan najis lembu di sebuah kandang di Kampung Bukit Tunku, di sini, terbongkar dalam enam siri serbuan, minggu lalu.

Dadah itu dirampas selepas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menahan seorang lelaki berusia 34 tahun semasa memandu sebuah kereta jenis Perodua Axia di Jalan Gajah Mati Banggol Chicha pada 27 Jun lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Mat Zani @Mohd Salahuddin Che Ali berkata, pemeriksaan di dalam kereta suspek menjumpai sebanyak 115 gram pil kuda.

Menurutnya, susulan itu, polis menahan isterinya dan empat lelaki yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 39 tahun dalam serbuan di beberapa rumah di sekitar Pasir Mas dan Wakaf Bharu, Tumpat.

“Pemeriksaan di rumah pasangan suami isteri di Banggol Chicha di sini menemui pil kuda seberat 112 gram.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, polis menyerbu kandang lembu di belakang sebuah lagi rumah pasangan suami isteri itu di Kampung Bukit Tunku di sini sebelum menjumpai sebanyak 19.86 kg pil kuda disembunyikan di dalam timbunan tahi lembu,” katanya pada sidang akhbar Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di sini hari ini.

Mat Zani memberitahu, seorang lelaki berusia 25 yang dipercayai berperanan sebagai penjaga kandang lembu itu turut diberkas.

Menurutnya, serbuan diteruskan di sebuah rumah di Wakaf Bharu, Tumpat sebelum menahan seorang lagi lelaki berusia 39 tahun dan menjumpai pil kuda seberat 15.4kg di dalam sebuah trak pikap.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 35.4 kg dengan nilai RM5.04 juta dan dipercayai akan dijual kepada golongan pelajar,” ujarnya.

Menurut Mat Zani, siasatan lanjut mendapati, pasangan suami isteri itu turut memiliki beberapa perniagaan termasuk restoran makanan laut, perniagaan dalam talian dan salon untuk menjalankan kegiatan pengubahan wang haram hasil jualan dadah.

Beliau berkata, sindiket itu diperpercayai aktif sejak Julai 2022 dan menjadikan kandang lembu sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan di sekitar Kelantan dan Lembah Klang.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN