KOTA BHARU – Semua persatuan sukan di negara ini diingatkan agar tidak menjadikan langkah mengambil atlet naturalisasi atau warisan sebagai jalan mudah untuk mencari kemenangan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ini kerana, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah menyalurkan peruntukan RM1 juta melalui Majlis Sukan Negara (MSN) bagi tujuan pembangunan atlet akar umbi terutamanya untuk sukan-sukan Olimpik.
Menurutnya, KBS tetap mahu membangunkan akar umbi atlet ditambah dengan program naturalisasi atau warisan pemain.
“Kita mahu buat kedua-duanya. Bangunkan dan perluaskan bakat-bakat sukan (bermula daripada peringkat akar umbi), namun pada masa yang sama mahukan kemenangan.
“Usaha membawa masuk pemain warisan atau naturalisasi juga perlu mengikut garis panduan Kementerian Dalam Negeri kerana ia turut melibatkan isu-isu imigresen,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian The ASEAN Youth Robot Challenge 2025 (ASEAN Y-RoboC’25) dan Hari Kerjaya Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) Zon Timur 2025 di Tunjong, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hannah memberitahu, KBS menyokong usaha persatuan sukan termasuk bola sepak, akuatik dan renang, membawa masuk atlet warisan untuk mewakili negara.
Menurutnya, sokongan itu diberikan pihak kementerian sekiranya persatuan mematuhi peraturan antarabangsa yang ditetapkan badan sukan masing-masing. – KOSMO! ONLINE