fbpx

McDonald’s Malaysia perkasa OKU, B40 melalui TVET

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang (tengah) pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-5 Akademi Vokasional McDonald's Malaysia di IDCC. Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh (kanan) dan Pengarah Urusan dan Rakan Kongsi Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar (kiri).

SHAH ALAM – Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia terus memberikan impak positif kepada belia tempatan termasuk golongan rentan di negara ini apabila sebilangan daripada pesertanya terdiri daripada kumpulan B40, asnaf, orang kurang upaya (OKU) serta Orang Asli bagi mengubah hidup dan sosioekonomi mereka.

Program berunsurkan Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) itu bertujuan untuk memperkasa golongan belia yang merupakan pelaburan terbaik dalam mengembangkan lagi pengetahuan dan kemahiran sumber manusia di negara ini.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, McDonald’s bukan sekadar tempat menjual burger dan kentang goreng, sebaliknya turut mendedahkan kakitangannya kepada aspek kepimpinan, operasi, perancangan strategik dan lain-lain.

Katanya, program sejak tahun 2018 dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) itu telah melahirkan lebih 5,000 graduan dengan menekankan aspek praktikal, yang mana 70 peratus pembelajaran dilaksanakan di restoran McDonald’s sendiri, manakala 30 peratus selebihnya di dalam kelas.

Lebih 1,000 graduan diraikan setelah menamatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4.

“Daripada jumlah keseluruhan graduan, 80 peratus daripada mereka kini masih bersama McDonald’s Malaysia untuk mencipta kerjaya yang bermakna.

“Alhamdulillah, apa kami semai kini telah membuahkan hasil. Ramai lulusan program ini sekarang mengisi pelbagai lapisan jawatan bersama kami, daripada Jurulatih Kru hingga Pengurus.

“Ini bukan sahaja memberi manfaat daripada sudut tenaga kerja syarikat, malah mengangkat kehidupan dan sosioekonomi mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Kali ke-5 Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia, baru-baru ini.

Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang mewakili Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Lebih 1,000 graduan diraikan pada majlis berkenaan setelah menamatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4.

Sebahagian daripada graduan yang diraikan setelah menamatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4.

Azmir menerangkan, Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia terbuka kepada lepasan Tingkatan 3 yang akan ditempatkan di Kolej Vokasional (KV) terpilih, manakala belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjalani program ini di Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia yang berpusat di McDonald’s Mutiara Damansara, dengan tempoh pengajian selama 18 bulan.

Tambah beliau, peserta akan mendapat pelbagai manfaat seperti elaun bulanan, kemudahan asrama, makan minum percuma serta faedah perlindungan insurans dan perubatan sepanjang mengikuti program itu.

“Secara keseluruhan, McDonald’s Malaysia membelanjakan sekitar RM40,000 untuk setiap perantis sepanjang mereka mengikuti program ini.

“Selain itu, kita juga membuka peluang melanjutkan pelajaran sehingga peringkat Sarjana buat pekerja McDonald’s melalui kolaborasi dengan universiti tempatan,” jelasnya.

Graduan-graduan bergembira meraikan kejayaan mereka mendapatkan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Antara program yang ditawarkan termasuk Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di Azman Hashim International School of Business, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Ijazah Sarjana Muda Industri Perkhidmatan Makanan (Kepujian) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

“McDonald’s Malaysia juga membangunkan bakat melalui Hamburger U, iaitu sebuah institusi latihan dan kemahiran dalaman dengan menawarkan kursus pentadbiran, kepimpinan, serta pengurusan restoran,” tambah Azmir.

Sementara itu, Rubiah menzahirkan penghargaannya pada komitmen berterusan McDonald’s Malaysia yang telah mengambil inisiatif melaksanakan program latihan vokasional mereka sendiri, selari dengan SLDN yang diperkenalkan oleh kerajaan.

“Malah anak-anak desa di kampung atau mereka yang memerlukan pun boleh melanjutkan pengajian tanpa sebarang bebanan kewangan.

“Sesungguhnya, program seperti ini bukan sekadar memperkasa belia tetapi juga mengangkat darjat anak bangsa,” katanya.

Empat graduan meraih anugerah terbaik atas kecemerlangan mereka sepanjang 18 bulan dalam Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia.

Sementara itu, penerima Anugerah Perantis Cemerlang Keseluruhan program itu, Raidi Hamizan Rozki, 18, mengakui terkejut dengan anugerah yang diterimanya namun pada masa sama berharap ia menjadi contoh terbaik kepada dua lagi adiknya.

“Saya bercita-cita menjadi tenaga pengajar untuk program ini pada masa depan untuk sama-sama membantu dan melahirkan tenaga mahir diperlukan negara,” ujarnya yang merupakan Ketua Kru di salah sebuah restoran McDonald’s.

Dalam pada itu, Muhammad Hfiy Haikal Ruslan, 18, menzahirkan penghargaan kepada McDonald’s Malaysia yang memberikan peluang kepadanya selepas gagal permohonan untuk melanjutkan pengajian di sebuah Kolej Vokasional dalam bidang kulinari sebelum ini.

Raidi Hamizan Rozki menerima Anugerah Perantis Cemerlang Keseluruhan pada Majlis Konvokesyen Kali Ke-5 Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia.

“Malah sebelum ini, saya pernah terlibat dalam kemalangan sehingga koma dan terpaksa berehat selama tiga bulan.

“Namun, McDonald’s Malaysia tetap memberikan peluang kepada saya untuk menamatkan pengajian dalam program ini. Sangat berterima kasih,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI