NEW DELHI – Seorang pelajar wanita berumur 19 tahun mati dikelar bekas teman lelakinya di sebuah hospital di India, lapor portal berita MSNews semalam.
Kejadian berlaku Jumaat lalu selepas mangsa, Sandhya Chaudhary melawat seorang kenalan di wad bersalin hospital berkenaan di daerah Narsinghpur, negeri Madhya Pradesh.
Penyerang yang dikenali sebagai Abhishek Koshti, berada di hospital itu sejak waktu tengah hari.
Selepas perbualan ringkas dengan Sandhya, lelaki itu mengelar leher mangsa dengan pisau.
Sandhya meninggal dunia di tempat kejadian akibat pendarahan yang teruk.
Abhishek cuba mencederakan dirinya selepas serangan itu tetapi akhirnya melarikan diri dengan menunggang motosikal.
Walaupun terdapat kakitangan hospital ketika kejadian, tiada sesiapa yang campur tangan.
Seorang kakitangan memberitahu polis bahawa suspek mengancam untuk mencederakannya jika dia terlibat dalam kejadian itu.
Suspek dilaporkan ditahan dalam tempoh sejam selepas kejadian.
Abhishek memberitahu polis bahawa dia dan Sandhya berkenalan selama dua tahun dan dia mengesyaki gadis itu curang. – AGENSI