MANCHESTER – Brentford tidak akan melayan Manchester United dalam usaha pasukan itu mendapatkan khidmat Bryan Mbeumo sekiranya tidak bersetuju dengan tanda harga yang diletakkan.
Pengarah Bola Sepak Brentford, Phil Giles seolah-olah memberi gambaran bahawa pihaknya sudah mula hilang sabar memandangkan belum ada kata sepakat antara kedua-dua pasukan meskipun rundingan sudah bermula sebulan yang lalu.
Beliau berkata, Brentford berbesar hati sekiranya urusan perpindahan itu tidak dapat dimeterai memandangkan mereka dapat mengekalkan Mbeumo dalam pasukan bagi menghadapi saingan musim baharu nanti.
“Dia menjaringkan 20 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu dan memang kami sudah menjangkakan banyak pasukan berminat untuk mendapatkan khidmat Mbeumo. Selain itu, dia juga ada sasaran tersendiri.
“Bagaimanapun, sekiranya dia kekal di sini, kami sangat berbesar hati dan gembira. Ia boleh melegakan ‘sakit kepala’ kerana rundingan ini sudah pun berjalan beberapa minggu dan kami kekal dengan pendirian sendiri,” katanya.
Sebelum ini, United dikatakan sudah mengemukan pakej bernilai £62.5 juta (RM361.10 juta) bagi mendapatkan khidmat Mbeumo, namun Brentford tegas dengan pendirian mereka dengan tanda harga melebihi £65 juta (RM375.54 juta).
“Adakah kami rasa tertekan atau seolah-olah diserang? Tidak, kerana kami hanya akan melepaskan pemain sekiranya pasukan berminat bersetuju dengan dengan permintaan kami,” ujar Giles. – AGENSI