PUTRAJAYA – Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim akan menjalankan kuasa dan tugas jawatan Ketua Hakim Negara (termasuk fungsinya di bawah Perlembagaan) sehingga jawatan itu diisi.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan hari ini, ia selaras dengan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan Seksyen 9 (1)
(b) dan seksyen 9 (3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91].
Menurut Perkara 9(1), sekiranya pada bila-bila masa, disebabkan oleh penyakit, ketiadaan dari Malaysia atau apa-apa sebab lain, Ketua Hakim Negara tidak dapat menjalankan kuasa atau melaksanakan tugas jawatannya (termasuk fungsinya di bawah Perlembagaan), atau sekiranya berlaku kekosongan dalam jawatan itu.
Sementara perkara 9(1)(a) pula menyatakan, maka kuasa itu boleh dijalankan dan tugas boleh dilaksanakan oleh Presiden Mahkamah Rayuan (PCA) ata sub-seksyen (b), oleh Hakim Besar Malaya sekiranya PCA tiada di Malaysia atau tidak dapat bertindak, atau sekiranya berlaku kekosongan dalam jawatan itu.
Kenyataan lanjut turut menyatakan, Badan kehakiman Malaysia sentiasa kekal teguh dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai penjaga keadilan dan akan terus berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk rakyat dan negara.
Jawatan Ketua Hakim Negara kosong selepas Tun Tengku Maimun Tuan Mat memegang jawatan itu selama enam tahun dengan mencipta sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan tertinggi kehakiman itu, bersara wajib semalam.
Tengku Maimun dilantik sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa pada 2 Mei 2019 selepas menggantikan Ketua Hakim Negara sebelumnya Tan Sri Richard Malanjum.
Pada hari terakhir tugasannya, Tengku Maimun sempat menyempurnakan tugasnya sebagai Ketua Hakim Negara termasuk rayuan akhir kes bunuh berprofil tinggi membabitkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais. – KOSMO! ONLINE