BATU PAHAT – Kemalangan maut yang mengorbankan dua lelaki Indonesia di Kilometer 80.7 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Yong Peng, Ayer Hitam di sini tengah malam tadi berpunca daripada bas persiaran hilang kawalan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian pada pukul 12.27 tengah malam itu berlaku akibat pemandu bas berusia 35 tahun disyaki gagal mengawal kenderaan lalu melanggar lori tangki yang sedang ditarik lori tunda.
“Bas persiaran membawa 45 orang pekerja ladang warga Indonesia dalam perjalanan dari Sepang, Selangor menuju ke Ulu Tiram, Johor Bahru.
“Sejurus sampai di lokasi kejadian, pemandu bas dipercayai hilang kawalan dan merempuh belakang lori tangki yang rosak tengah ditarik lori tunda.
“Akibat daripada perlanggaran itu, dua penumpang lelaki berusia 43 dan 44 telah tersepit serta mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam ketika dihubungi di sini hari ini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Hidirman, 43, dan Zulhadi, 44.
Shahrulanuar berkata, seorang penumpang wanita berusia 43 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian dada, kepala dan kaki.
“Pemandu bas mengalami kecederaan di bahu, tulang rusuk dan tangan dan lima penumpang lagi mengadu sakit pada bahagian kepala manakala pemandu lori tangki, lori penunda dan penumpang selebihnya tidak cedera,”katanya.
Menurut beliau, semua mangsa terlibat dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk proses bedah siasat dan rawatan.
Ujarnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-KOSMO! ONLINE