PETALING JAYA – Seorang wanita berkongsi pengalaman ngeri yang hampir meragut nyawanya dalam satu kejadian ketika menggunakan pengisar mudah alih di rumahnya di Kota Bharu, Kelantan.
Menerusi hantaran dalam aplikasi TikTok, wanita itu dilihat cedera selepas mata pisau pengisar mudah alih miliknya tercabut dan terpelanting ke bahagian muka.
“Nasib baik saya sempat tepis dengan tangan, tapi jari saya pula terkena yang mengakibatkan kuku saya separuh hancur. Bahagian dahi saya terbelah dan menerima enam jahitan, manakala hidung pula lima jahitan,” katanya.
Di ruangan komen, ramai yang meluahkan rasa simpati terhadap kejadian menimpa wanita tersebut dan menasihati agar lebih berhati-hati ketika menggunakan alat pengisar mudah alih.
“Selalu ‘overthink’ semasa menggunakan alat pengisar dan sekarang sudah ada kes macam ini, semoga kakak itu cepat sembuh,” komen @Faithjety.
“Perkara paling saya fobia bila tengok ‘blade chopper blender’. Bila tengok sahaja mesti terfikir benda itu akan kena tangan, saya rela tumbuk pakai lesung batu,” balas @Chehaney.
“Saya nasihatkan untuk beli alat pengisar yang mempunyai kunci keselamatan dan elakkan beli yang murah kerana kebanyakkanya tiada pengunci keselamatan,” komen @Finatisar1202. – KOSMO! ONLINE.