fbpx

4 maut, ramai hilang tragedi feri karam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA keluarga mangsa menunggu berita operasi menyelamat di Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi hari ini. – AFP

JAKARTA – Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 23 lagi diselamatkan selepas sebuah feri membawa 65 orang tenggelam ketika dalam pelayaran ke Pulau Bali, kata seorang ketua polis tempatan hari ini.

“23 orang diselamatkan, empat mati,” kata Ketua Polis Kota Banyuwangi di Jawa Timur, Rama Samtama Putra sambil menambah, angka tersebut adalah setakat pukul 7.50  pagi (waktu tempatan).

Pasukan penyelamat giat mencari ramai mangsa yang masih hilang selepas feri membawa 65 penumpang itu karam menjelang tengah malam semalam ketika belayar ke Bali dari Pulau Jawa.

Presiden Prabowo Subianto yang sedang dalam perjalanan ke Arab Saudi, mengarahkan operasi menyelamat segera, kata setiausaha kabinet, Teddy Indra Wijaya dalam satu kenyataan hari ini sambil menambah, punca kemalangan adalah ‘cuaca buruk’.

Agensi penyelamat tempatan di kota Surabaya sebelum ini berkata,  61 orang hilang dan empat diselamatkan, tanpa menyebut punca feri itu karam.

“KMP Tunu Pratama Jaya  tenggelam kira-kira 25 minit selepas belayar.

“Maklumat feri menyatakan,  terdapat 53 penumpang bersama 12 kru penumpang,” kata agensi mencari dan menyelamat Surabaya.

Pasukan penyelamat dan bot penyelamat  telah dikerahkan manakala, sebuah kapal lebih besar dihantar dari Surabaya untuk membantu usaha menyelamat.

Empat mangsa terselamat menyelamatkan diri dengan menggunakan bot penyelamat feri dan ditemui di tengah laut awal hari ini, kata agensi sama.

Menurutnya, feri itu turut mengangkut 22 kenderaan, termasuk 14 trak.

Pasukan penyelamat berkata,  mereka masih menilai sama ada terdapat lebih ramai orang di dalam feri itu berbanding maklumat vesel berkenaan.

Ini kerana sudah menjadi amalan biasa di Indonesia di mana jumlah sebenar penumpang berbeza daripada yang dicatatkan oleh pengurusan feri.

Perjalanan feri dari Jawa ke Bali mengambil masa kira-kira satu jam dan pengangkutan itu sering digunakan orang ramai yang menyeberang antara pulau dengan kereta. Tidak jelas sama ada terdapat warga asing di dalam feri ketika ia tenggelam.

Kemalangan marin adalah kejadian biasa di Indonesia, negara Asia Tenggara yang mempunyai kira-kira 17,000 pulau, sebahagiannya disebabkan oleh piawaian keselamatan longgar dan kadang-kadang berpunca daripada cuaca buruk.

Pada Mac lalu, sebuah bot   membawa 16 orang terbalik di perairan bergelora di luar Bali, menyebabkan seorang wanita Australia terbunuh dan seorang lagi cedera.

Sebuah feri  membawa lebih 800 orang terkandas di perairan cetek di luar wilayah Nusa Tenggara Timur pada  2022 dan kekal terkandas selama dua hari sebelum dilepaskan tanpa ada mangsa cedera. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI