PETALING JAYA – Gara-gara pemandu e-hailing terlalu mengantuk, seorang penumpang lelaki menawarkan diri untuk memandu kenderaan itu yang dinaiki bersama isterinya pada waktu subuh.
Menerusi perkongsian video di Facebook, wanita itu memaklumkan kejadian berlaku ketika mereka menaiki sebuah e-hailing sebelum pemandu tersebut meminta kedua-duanya menempah kenderaan lain kerana tidak mampu meneruskan perjalanan.
“Bila naik e-hailing waktu subuh… kasihan pemandu mengantuk. Tak lama lepas tu dia minta tempah e-hailing lain sebab terlalu letih. Suami bangun tidur dan tawar diri bawa kereta, alhamdulillah sampai juga,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Difahamkan, pemandu tersebut bersetuju dan berehat di tempat duduk penumpang, sementara si suami mengambil alih tugas pemanduan hingga tiba ke destinasi.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna memuji sikap bertanggungjawab pemandu dan tindakan murni pasangan tersebut.
“Bagus pemandu ni, dia tahu had kemampuan dan tak teruskan kalau dah letih,” ujar Amirul Aiman.
“Alhamdulillah syukur ada orang baik yang memahami, semoga dibalas kebaikan berlipat kali ganda,” komen seorang pengguna lain.
“Saya pun pernah alami situasi sama… pemandu nampak mengantuk, kawan saya tawar diri bantu pandu kereta,” kata Haire Rufi. – KOSMO! ONLINE