KLANG – Pembangunan semula Stadium Shah Alam akan menggunakan kaedah konvensional berbanding sistem Pembinaan Berindustri (IBS) yang dirancang sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI), Datuk Saipolyazan M. Yusop berkata, perubahan itu dibuat setelah melihat kaedah konvensinal dapat menjimatkan kos pembinaan.
“IBS lebih cepat dan bersih kerana komponen seperti beam dan panel disiapkan di luar dan dipasang di tapak. Tetapi kosnya lebih tinggi.
“Jadi kita ambil pendekatan guna kaedah konvensional. Kalau kita tengok projek pembinaan apa-apa bangunan, guna kaedah konvensional lebih jimat berbanding kaedah IBS,” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran Pusat Pengasingan Sisa Pepejal Sungai Klang di sini, hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah penjimatan dapat dilakukan menerusi kaedah tersebut.
Kos naik taraf Stadium Shah Alam sebelum ini dikatakan mencecah sehingga RM800 juta.
Saipolyazan memberitahu, kerja pembangunan awal stadium baharu dijangka bermula pada Oktober atau November ini selepas proses perincian reka bentuk selesai.
“Proses perobohan bukan sekadar apa yang dilihat dari luar, sebaliknya turut melibatkan peruntuhan substruktur seperti ‘piling’ dan ‘pile cap’ yang dipecahkan.
“Struktur terakhir yang dirobohkan adalah bahagian superstruktur dan semua bahan seperti batu konkrit digunakan semula bagi menimbun tapak stadium baharu,” katanya. – KOSMO! ONLINE