KANGAR – Sektor pertanian di Perlis didominasi warga emas apabila lebih 10,000 petani berusia 60 tahun ke atas masih aktif mengusahakan tanah dan tanaman di negeri ini.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, bancian menunjukkan 54 peratus tenaga kerja pertanian terdiri daripada golongan tua, manakala hanya 399 orang berusia 15 hingga 30 tahun terlibat dalam bidang itu.
“Kita boleh terima hakikat konsep persaraan tidak wujud dalam dunia pertanian. Selagi ada hayat, mereka akan terus bekerja kerana ia tiada waktu pencen.
“Namun tanpa data tepat seperti banci ini, sukar untuk kita rancang siapa bakal menggantikan mereka,” katanya ketika pelancaran laporan interim Banci Pertanian 2024, di sini hari ini.
Dapatan laporan interim Banci Pertanian 2024 juga menunjukkan seramai 18,839 individu terlibat dalam aktiviti pertanian serta hampir 100 peratus adalah rakyat Malaysia, dengan hanya seorang bukan warganegara.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 14,422 adalah lelaki dan 4,417 wanita. Seramai 10,241 (54.4 peratus) petani berusia 60 tahun ke atas; 5,160 (27.4 peratus) berusia 46 hingga 59 tahun; 3,039 (16.1 peratus) berusia 31 hingga 45 tahun dan 399 (2.1 peratus) berusia 15 hingga 30 tahun.
Menurut Mohd. Uzir, sektor pertanian menyumbang 17.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar dan ia juga memberi kesan kepada sektor perkhidmatan selaras dengan pertumbuhan ekonomi negeri pada 2024 yang meningkat 3.3 peratus berbanding dua peratus pada tahun sebelumnya. – KOSMO! ONLINE