LONDON – Manchester United dilaporkan mempersiapkan bidaan ketiga bagi mendapatkan penyerang Brentford, Bryan Mbeumo yang dianggap sebagai langkah penentu perpindahan itu ke Old Trafford.
Pakar perpindahan Eropah, Fabrizio Romano berkata, The Red Devils kekal yakin dan optimis bidaan ketiga yang sedang disusun itu mampu mencapai kata sepakat bersama Brentford selepas dua percubaan awal ditolak.
Mbeumo, 25, sudah bersetuju menyertai United dan enggan mempertimbangkan sebarang tawaran daripada kelab lain sekiranya meninggalkan The Bees.
Tawaran pertama United berjumlah £45 juta (RM270 juta) ditambah £10 juta (RM60 juta) dalam bentuk tambahan ditolak dengan segera, manakala bidaan kedua bernilai £62.5 juta (RM375 juta) beserta £7.5 juta (RM45 juta) turut gagal memikat Brentford.
Brentford dipercayai menjadikan urusan perpindahan Matheus Cunha dari Wolverhampton Wanderers ke United sebagai rujukan nilai pasaran pemain yang turut berjumlah £62.5 juta (RM375 juta).
Difahamkan, bidaan ketiga tidak menaikkan jumlah keseluruhan, sebaliknya tertumpu pada struktur perjanjian termasuk terma pembayaran, ansuran dan bonus yang lebih menguntungkan Brentford.
“United sedang mengusahakan butiran perjanjian untuk mencuba dan mencapai persetujuan dengan Brentford. Jadi perbincangan masih berjalan, United tetap berharap untuk mencapai perjanjian,” kata Romano.
Pengurus United, Ruben Amorim merancang untuk menggunakan salah satu daripada dua posisi No. 10 di belakang penyerang itu dalam formasi 3-4-2-1, bergandingan dengan Matheus Cunha selaku penyerang utama. – AGENSI