KUALA TERENGGANU – Lesen pemandu bot penumpang yang terbalik sehingga meragut tiga nyawa di perairan Pulau Perhentian, Besut pada Sabtu lalu digantung serta-merta sehingga siasatan termasuk berkaitan penyalahgunaan dadah selesai.
Timbalan Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Timur, Mohamad Halizam Samsuri berkata, lesen bot berkenaan juga dibatalkan berikutan pelanggaran peraturan yang dikesan selain mengalami kerosakan teruk.
“Sebuah jawatankuasa siasatan khas telah ditubuhkan bagi menyiasat punca insiden. Jika terbukti berlaku pelanggaran serius, tindakan termasuk pembatalan lesen secara kekal boleh diambil,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, bot terbabit hanya dibenarkan membawa maksimum 10 penumpang dan dua kru, namun dipercayai lebih muatan selain beroperasi di luar waktu dibenarkan, malah kesemua penumpang tidak memakai jaket keselamatan.
“Jurumudi bot sepatutnya bertegas memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap aspek keselamatan. Semua pemandu bot berlesen diwajibkan menjalani ujian ketat dan pemeriksaan ke atas bot juga dilakukan secara berkala,” katanya.
Dalam kejadian pukul 10.30 malam pada Sabtu lalu, bot membawa 15 penumpang yang perjalanan pulang ke resort penginapan di Pulau Perhentian Besar dari Pulau Perhentian Kecil terbalik dipukul ombak besar hingga meragut tiga mangsa. – KOSMO! ONLINE