KUALA LUMPUR – Geng ceti haram atau along kini telah menukar modus operandi dengan mengugut menyebarkan gambar mangsa bagi mengelak dikenakan hukuman penjara yang lebih tinggi jika ditangkap.
Timbalan Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Ivan Tan berkata, modus operandi itu kini semakin digemari oleh golongan along kerana jika ditangkap mereka hanya mendapat hukuman yang lebih ringan.
“Jika mereka buat kesalahan menyebarkan gambar mangsa jika disabitkan kesalahan di bawah Akta 506 (ugutan) tanpa memberikan apa-apa kecederaan, maksimum hukuman adalam maksima dua tahun penjara sahaja.
“Sebelum ini along akan mengugut menggunakan ‘fire bom’ atau bakar mereka akan dipenjara selama tujuh tahun, itu sebab mereka tukar cara,” katanya ketika sidang akhbar di Wisma MCA hari ini.
Hadir sama, Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam & Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong Ten Soo.
Bercerita lanjut, Ivan berkata, satu kes melibatkan seorang individu yang diugut oleh along selepas meminjam dengan sembilan along berbeza dengan jumlah keseluruhan pinjaman RM12,500.
“Ada satu pinjaman individu itu adalah RM1,000 dan dia bayar juga RM1,000, tetapi masih diminta lagi oleh along itu pada 26 Jun lalu mengugut akan menyebarkan gambar individu tersebut,” katanya.
Ivan juga berharap agar akta jenayah yang sedia ada digubal balik bagi mengurangkan masalah pinjaman ceti haram dalam masyarakat Malaysia ketika ini. – KOSMO! ONLINE