PETALING JAYA – “Saya tak sangka Allah nak pilih saya”.
Demikian luahan seorang penumpang Batik Air yang merupakan warga Malaysia, yang masih trauma selepas pesawat dinaikinya nyaris mengalami nahas ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta (Soetta), Indonesia, pada Sabtu lalu.
Menerusi hantaran oleh pemilik akaun @Keynaaa_azami di TikTok, wanita itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jakarta atas urusan kerja sehari, namun tidak menyangka pengalaman itu menjadi detik hitam dalam hidupnya.
“Dari atas memang dah takut. Allah masih bagi saya peluang untuk hidup, mungkin untuk saya perbaiki diri saya lagi,” tulisnya di ruang kapsyen hantaran tersebut.
Menurutnya, ini merupakan kali pertama dia menaiki pesawat Batik Air jenis Boeing 737 dan insiden berlaku ketika juruterbang mengumumkan pesawat bersedia untuk mendarat.
“Kita bersedia untuk ketibaan,” katanya mengimbas kata-kata juruterbang sebelum pesawat tiba-tiba bergoncang kuat akibat pergolakan udara.
“Pada masa itu lah pergolakan udara yang buruk berlaku sehinggakan kami para penumpang berpegangan tangan. Saya fikir saya akan mati. Saya trauma, sebab fikir anak saya yang masih kecil,” tambahnya.
Terdahulu, media melaporkan pesawat Batik Air mendarat dalam keadaan tidak stabil akibat cuaca buruk sehingga sayap dan enjin kanannya hampir menyentuh landasan, namun berjaya mendarat dengan selamat tanpa sebarang kerosakan atau kecederaan.
Bagaimanapun, cuaca ekstrem pada hari kejadian turut menyebabkan beberapa penerbangan lain terpaksa berlegar di udara sebelum dibenarkan mendarat. -KOSMO! ONLINE
@keynaaa_azamiDari dekat atas mmg dh takut. Allah masih bg sy peluang untuk hidup mungkin untuk saya perbaiki diri saya lagi. Allahuakbar