fbpx

Perkhidmatan 360 darjah Hotel WEIL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yu-Wei berkata, pihaknya menyediakan Ruang Kerja Bersama bagi memenuhi keperluan pelancong moden dan komuniti kerja hibrid.

DIMILIKI oleh Kumpulan Thong Fook yang sememangnya terkenal dengan produk kacang jenama Pagoda sejak 1945, Hotel WEIL telah berusia lebih 10 tahun terletak di kawasan strategik di Ipoh.

Bertaraf lima bintang, hotel yang mendapat anugerah Bintang Meningkat 2024 (Rising Star 2024) Trip.com ini menawarkan 313 buah bilik dengan keluasan lantai kasar bangunan 54,978 meter.

Menariknya ia bersebelahan pusat beli-belah, Ipoh Parade dengan kemudahan tempat letak kenderaan tiga tingkat, disokong sekitar 240 tenaga kerja yang sebahagian besarnya merupakan rakyat negara ini.

Pengarah Urusan Hotel WEIL, Liew Yu-Wei berkata, hotel itu bukan sekadar lokasi penginapan semata-mata tetapi menawarkan kepelbagaian makanan, tempat bermain, istirahat, penganjuran acara skala besar, janji temu perniagaan dan beli-belah.

“Wawasan Hotel WEIL ialah menjadi pusat setempat bersifat 360 darjah kepada pelanggan kami tanpa meminggirkan kualiti dalam hospitaliti dan elemen persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) yang mampan.

“Kadar penghunian bilik kami kekal stabil dengan purata 70 peratus termasuk kadar purata bilik (ARR) sekitar RM380,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Yu-Wei turut berkongsi perancangan terbaharu untuk memacu Hotel WEIL pada masa depan iaitu melebarkan sayap perniagaan dalam bidang perkhidmatan pengurusan hotel, katering dan memperkenalkan produk premium sedia dimakan.

 

KOSMO!: Boleh ceritakan ­tentang perkembangan hotel?

YU-WEI: Berakar nilai tempatan tetapi berpandangan global, pada Disember 2024 Hotel WEIL menyambut ulang tahun ke-10 iaitu satu dekad penuh dengan dedikasi, inovasi dan sema­ngat hospitaliti yang membentuk jenama ini sebagai pilihan utama landskap perhotelan di Ipoh.

Salah satu pencapaian utama kami ialah Concept Floor (Lantai Konsep), iaitu hotel butik eksklusif dalam hotel yang menampilkan bilik bertema seni, membawa tetamu menyelami pengalaman penginapan yang unik dan imersif.

Kami menyediakan Cowor­king Space (Ruang Kerja Bersama) bagi memenuhi keperluan pelancong moden dan komuniti kerja hibrid, serta menjadi hotel pertama di negeri ini yang menggunakan mesin pengkomposan makanan berteknologi tinggi bagi menukar sisa makanan kepada baja organik.

Bagi memperkembangkan potensi perniagaan, kami telah memperkukuhkan perkhidmatan katering luar dan pada bulan depan, WEIL Horizon akan dilancarkan, iaitu program kesetiaan pelanggan yang menawarkan baucar diskaun untuk penginapan, makanan dan perkhidmatan lain yang boleh dimuat turun menerusi Google Play, App Store dan Huawei AppGallery.

Setakat ini, lebih 60 peratus pelanggan kami merupakan rak­yat tempatan dan selebihnya ialah pelancong antarabangsa dari Singapura, Amerika Syarikat, India, Jepun dan China.

Meneruskan momentum, kami bakal melancarkan lebih 20 unit simpanan stok produk makanan premium sedia dimakan masakan tempatan dan antarabangsa yang memperluaskan pengalaman gastronomi hotel ke kediaman pelanggan.

Operasi pusat hiburan dalaman yang sesuai untuk semua golongan bermula pada awal tahun depan melengkapi peranan kami untuk memberi kepuasan 360 darjah kepada pelanggan termasuk kemudahan penginapan, kepelbagaian makanan, tempat bermain, beristirahat, penganjuran acara skala besar, janji temu perniagaan dan beli-belah.

Menyokong generasi masa depan, kami juga menaja dua pemain tenis antarabangsa negara iaitu Mitsuki Leong dan Shihomi Leong, serta pasukan Team X.O (Xtra Ordinary Pickleball), melibatkan sukan yang berkembang pesat di Malaysia.

Hotel WEIL menyediakan kemudahan hospitaliti bertaraf lima bintang di tengah-tengah bandar raya Ipoh.

Boleh jelaskan mengenai inisiatif ESG Hotel WEIL?

Kami menjadi hotel pertama di negara ini yang mendapat pengiktirafan elemen ESG oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH).

Inisiatif kami merangkumi teknologi pengurusan sisa pepejal, sistem penapisan air berkualiti tinggi, penyele­saian teknologi hijau dan tanggungjawab sosial korporat secara konsisten.

Kemudahan bilik air mandi turut dilengkapi kelengkapan hijau yang diperakui dan kemudahan mesra alam, memperkukuhkan lagi pendekatan bebas plastik dan amalan operasi mampan secara menyeluruh.

Adakah terdapat sebarang perancangan untuk penggunaan aplikasi yang memudahkan pelanggan menempah bilik, perkhidmatan dan proses pembayaran?

Hotel WEIL telah melaksanakan sistem tempahan dalam talian yang berfungsi secara menyeluruh 24 jam, 365 hari iaitu Web Booking Engine, Payment Gateway dan fungsi Web Check-in untuk memudahkan pelanggan menerusi medium digital.

Selain itu, WEIL Horizon yang bakal dilancarkan memiliki sekuriti dan perlindu­ngan data pelanggan, menggabungkan pelbagai fungsi dalam satu platform termasuk tempahan bilik yang lancar, penebusan ganjaran segera, pembayaran selamat hingga melibatkan urusan komunikasi.

Bagaimana Hotel WEIL melihat cabaran perniagaan dalam situasi ekonomi yang tidak menentu kini?

Dalam persekitaran ekonomi yang terus mencabar dan dinamik, kami mengambil pendekatan bersepadu dengan mempelbagaikan aliran pendapatan serta inovasi dalam penyampaian perkhidmatan.

Pendekatan holistik yang menggabungkan ino­vasi, kepelbagaian strategi dan keterlibatan komuniti amat kritikal untuk kesinambungan perniagaan secara berterusan.

Penerokaan pasaran baharu juga penting untuk kestabilan dan memenuhi kehendak pe­langgan yang dinamik.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI