“SEJUJURNYA saya rasa macam bermimpi.
“Ketika mula-mula buka e-mel daripada Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) untuk melihat keputusan itu, saya baca berkali-kali untuk pastikan saya tidak salah faham.”
Itu reaksi anak muda hebat bernama Ahmad Nur Iman Ahmad Fauzi, 19, ketika diumumkan sebagai pelajar terbaik Malaysia dan ketiga di dunia dalam Merekod Transaksi Kewangan FA1 (Recording Financial Transactions) pada peperiksaan sesi Mac lalu.
FA1 merupakan subjek asas dalam perakaunan yang melibatkan pembelajaran mengenai penyediaan rekod urus niaga kewangan perniagaan.
Subjek tersebut menuntut para pelajar mengenal pasti akaun, membuat catatan jurnal, ‘memposting’ ke lejar dan menyediakan imbangan duga.
Ia wajib diambil oleh semua pelajar perakaunan Foundation in Accountancy (ACCA FIA) yang tidak mengambil subjek Perakaunan di sekolah menengah.
Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur yang membesar di Kampung Telaga, Hulu Terengganu itu, kejayaan tersebut merupakan satu pengiktirafan yang tidak pernah dijangkakannya.
Ujar pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dungun, Terengganu itu dia hanya fokus untuk belajar dan memberi yang terbaik dalam pembelajaran.
“Rasa sangat bersyukur kerana segala usaha, doa dan pengorbanan selama ini akhirnya membuahkan hasil. Ibu bapa saya dan pensyarah turut gembira. Saya bersyukur kerana kejayaan ini bukan saja harumkan nama universiti dan negeri Terengganu, malah mengangkat tempat saya membesar,” katanya kepada K-Kampus.
Meneruskan perkongsian, anak sulung daripada empat beradik itu memberitahu, usai memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan di peringkat asasi di UiTM Dungun.
Ahmad Nur Iman memaklumkan, sejak di bangku sekolah rendah, dia memang cenderung dan seronok belajar subjek yang melibatkan pengiraan seperti Matematik dan Matematik Tambahan.
“Saya suka dengan logik dan ketepatan dalam membuat pengiraan.
“Selain itu, saya melihat perakaunan sebagai bidang profesional yang stabil dan sentiasa relevan dalam mana-mana industri.
“Ia mempunyai banyak peluang kerjaya sama ada dalam sektor kerajaan, korporat mahupun perniagaan sendiri.
“Seperkara lagi, dengan memilih perakaunan sebagai asas pengajian di peringkat asasi, saya yakin sudah melangkah setapak ke arah cita-cita bergelar akauntan bertauliah,” ujarnya.
Berkongsi mengenai cabaran sebagai pelajar dalam jurusan perakaunan, Ahmad Nur Aiman berkata, ada pelbagai perkara mencabar yang ramai tidak tahu.
Menurutnya, semasa di tingkatan empat, dia mengambil aliran Sains Tulen dan tidak tersenarai subjek Perakaunan dalam aliran tersebut.
Maka, salah satu subjek yang perlu diambil ketika di kampus adalah FA1, dan ia cukup mencabar bagi dirinya.
Hal ini kerana dia perlu belajar semula asas-asas perakaunan dalam masa hanya enam bulan sebelum peperiksaan berlangsung.
“Ia berbeza dengan pelajar perakaunan lain yang pernah mengambil subjek tersebut dalam tempoh dua tahun ketika di tingkatan empat dan lima.
“Dari segi tahap kesukaran, saya meletakkan FA1 sebagai mudah hingga sederhana kerana ia diajar bermula daripada konsep paling asas.
“Namun begitu, saya perlu memberi perhatian kepada konsep asas ini kerana ia menjadi ‘tapak’ penting untuk memahami subjek-subjek perakaunan lain di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran lain sebagai pelajar dalam bidang itu, Ahmad Nur Iman berkata, konsep perakaunan cukup teknikal dan mendalam.
Jelasnya, bidang perakaunan memerlukan pemahaman konsep dan piawaian yang mendalam.
“Jika salah faham prinsip asas seperti debit, kredit dan pelarasan akaun, ia akan menyukarkan saya untuk menguasai topik-topik lebih kompleks seperti penyata kewangan, percukaian serta audit.
“Justeru, saya perlu fokus dan banyak membuat latihan untuk menguasainya,” katanya.
Perubahan sukatan pelajaran dan piawaian perakaunan juga menjadi salah satu cabaran. Ini kerana ia sentiasa berkembang dan dikemas kini mengikut piawaian baharu seperti International Financial Reporting Standards (IFRS).
Justeru, dia perlu sentiasa peka dan membuat pembacaan tambahan untuk memahami perubahan tersebut agar tidak ketinggalan serta mampu menjawab soalan mengikut standard terkini.
Cabaran terakhir adalah dari segi tekanan untuk mengekalkan prestasi cemerlang.

Akui jejaka yang suka bermain badminton dan boling itu, bidang perakaunan amat kompetitif, maka dia perlu sentiasa berusaha untuk mendapatkan keputusan baik bagi memudahkannya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Tekanan ini kadangkala membuatkan saya risau. Tetapi saya cuba tanganinya dengan membuat jadual belajar teratur, berkongsi ilmu dengan rakan-rakan dan berjumpa pensyarah jika perlu bantuan.
“Namun, cabaran-cabaran inilah yang menjadikan saya lebih berdisiplin dan tabah. Dengan membuat latihan berterusan, saya percaya setiap cabaran pasti ada jalan penyelesaiannya.
“Saya juga tahu bahawa kejayaan memerlukan pengorbanan. Cabaran-cabaran ini juga membentuk saya menjadi lebih matang serta yakin untuk menghadapi dunia kerjaya nanti,” katanya.
Ditebak mengenai petuanya dalam menempa kejayaan, Ahmad Nur Aiman memaklumkan, pengurusan masa yang baik adalah kunci segalanya.
Menurutnya, dia akan membuat jadual belajar dan menetapkan waktu untuk ulang kaji setiap hari agar semua topik sempat difahami.
Selain itu, petua atau tip lain yang diamalkannya adalah membuat nota ringkas dan konsisten dalam pelajaran.
Pesannya, jangan belajar hanya ketika peperiksaan sudah hampir, sebaliknya lakukan secara berterusan agar lebih mudah faham dan ingat.
Banyak membuat latihan juga menjadi rahsia kejayaannya. Mengulang kaji pelajaran menggunakan soalan lepas dan soalan praktis dapat membantunya membiasakan diri dengan format soalan serta mengelak kecuaian.
Selain itu, berani bertanya dan saling berkongsi ilmu merupakan salah satu rahsia kejayaan Ahmad Nur Iman dalam akademik.
“Bila saya kurang faham, saya tidak malu bertanya kepada pensyarah dan rakan-rakan.
“Kami sering membuat perbincangan dalam kumpulan belajar untuk sama-sama bantu memahami topik yang sukar.
“Jadi, setiap kekeliruan yang timbul dapat dijelaskan dengan cepat,” ujarnya yang turut diundang memberi perkongsian mengenai kisah kejayaannya pada Hari Belia Negara di Terengganu baru-baru ini.
Baginya, sebagai umat Islam, berdoa dan tawakal jangan sesekali dilupakan.
Jelasnya, dia sentiasa berdoa dan yakin bahawa usaha berterusan pasti akan membuahkan kejayaan.
Hal ini kerana dia percaya bahawa setiap kejayaan datang daripada izin dan keberkatan Yang Maha Esa.
Kongsi jejaka yang suka menanam pokok bunga di waktu lapang itu lagi, dia mempunyai matlamat tersendiri selepas tamat pengajian kelak.
Jelasnya, usai tamat pengajian di peringkat asasi, dia bercadang untuk melanjutkan pengajian di peringkat sijil profesional dalam program profesional perakaunan ACCA di UiTM Shah Alam, Selangor.
Untuk makluman, ACCA merupakan kelayakan profesional perakaunan yang diiktiraf di peringkat global. Di Malaysia, ia dikawal selia dan diiktiraf sebagai program profesional setara tahap sarjana muda apabila berjaya melengkapkan semua kertas.
Di United Kingdom, taraf ACCA secara rasmi diiktiraf sebagai kelayakan profesional perakaunan dan setara dengan peringkat Sarjana (Master’s Degree).
Terangnya, ACCA tidak membawa gelaran ijazah, tetapi memberikan kelayakan profesional bertaraf antarabangsa.
“Selepas melengkapkan semua kertas dan pengalaman kerja, saya layak bergelar Chartered Certified Accountant dan dapat menggunakan huruf ACCA di belakang nama saya.
“Dengan adanya kelayakan profesional ini, saya ingin memantapkan lagi diri dan memperluaskan pilihan kerjaya di peringkat global.
“Saya bercita-cita untuk menjadi seorang akauntan bertauliah dan ingin berkhidmat sama ada di firma audit antarabangsa, institusi kewangan atau syarikat korporat terkemuka,” katanya.
Pada masa sama, penerima biasiswa Yayasan Terengganu (Asasi Perakaunan) itu juga menyimpan impian memiliki firma perakaunan sendiri pada suatu hari nanti.
Dengan cara itu, dia boleh memberikan peluang pekerjaan kepada graduan baharu dan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam pengurusan kewangan mereka, di samping meningkatkan ekonomi negeri serta negara.
Menutup bicara, Ahmad Nur Aiman menitipkan pesanan kepada semua mahasiswa sepertinya agar sentiasa bersemangat dan jangan sesekali takut mencuba perkara baharu sepanjang berada di kampus.
Ujarnya, mahasiswa perlu manfaatkan peluang pembelajaran, melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum dan perbanyakkan jaringan sosial.
“Ini kerana pengalaman seperti itu akan membentuk diri menjadi individu yang lebih matang dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan pada masa depan,” katanya sebelum menutup bicara.