AMPANG JAYA – Memenuhi kehendak teman lelaki menjadi punca kepada seorang ibu membenarkan anak perempuannya dirogol kekasih, pada tahu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, perkara berkenaan diperolehi hasil siasatan dilakukan pihaknya.
“Siasatan awal yang dilakukan mendapati, motif ibu mangsa melakukan perkara sedemikian adalah bagi memenuhi keinginan teman lelakinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, sehingga kini sebanyak lima keterangan telah diambil termasuk ibu mangsa dan kekasihnya.
“Rakaman percakapan mangsa pula dijadualkan esok di Pusat Temu Duga Kana-Kanak,” ujarnya.
Semalam media melaporkan, seorang wanita berusia 36 tahun dan teman lelaki berusia 61 tahun diberkas pada Jumaat lalu, disyaki terlibat dalam kes rogol melibatkan remaja perempuan di sebuah rumah di Pandan Indah.
Mohd. Azam dilapor berkata, mangsa berumur 13 tahun itu merupakan anak kepada wanita berkenaan.
Katanya, siasatan mendapati mangsa pernah dirogol oleh teman lelaki ibunya pada tahun lalu dan kejadian itu turut disaksikan ibunya sendiri.
Kes disiasat dibawah seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE