BANGKOK – Seorang ibu warga Thailand meluahkan rasa terdesaknya di media sosial dan meminta campur tangan daripada pihak polis, lapor portal berita Thaiger hari ini.
Dia membuat permintaan itu selepas anaknya yang ketagih dadah, menukarkan durian yang dibeli ibu tersebut dengan pil kuda.
Ibu di rantau Isaan dalam wilayah Sa Kaeo itu menggunakan akaun Facebooknya pada 17 Jun lalu untuk menyatakan kekecewaannya.
Dia menyiarkan gambar dua biji durian dan satu peket makanan dengan keterangan gambar.
“Saya bimbang anak saya akan kelaparan, jadi saya membeli ini (durian dan makanan) untuknya.
“Dia tidak memakannya tetapi menukarnya dengan pil kuda di rumah Sao (pengedar dadah).
“Polis, sila tangkap anak saya. Jika tidak, kamu perlu datang dan mengambil mayat saya sebagai gantinya,” kata keterangan gambar tersebut.
Permintaannya mendapat perhatian pegawai Pejabat Daerah Khao Chakan yang menyaksikan suspek pengedar dadah dikenali sebagai Sao Praditsri ditahan.
Polis menemui 90 pil kuda yang disembunyikan di dalam botol ubat, pek mi segera dan pembungkus coklat di dalam kereta suspek.
Bagaimanapun, sehingga kini, tidak diketahui sama ada anak wanita itu sudah ditangkap oleh pihak berkuasa. – AGENSI