KUALA LUMPUR – Impian sekumpulan 282 individu untuk mengaut keuntungan melalui pelaburan saham berkecai apabila kerugian RM80 juta selepas gagal mendapat imbuhan yang dijanjikan oleh tiga syarikat tempatan.
Kesemua mereka terpedaya untuk melabur dalam Saham Keutamaan Boleh Tebus Islamik- Islamic Redeemable Preference Shares (i-RPS) selepas percaya melalui pendekatan agama yang digunakan untuk mempengaruhi mangsa.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sindiket turut menggunakan khidmat ejen yang bertauliah dan penasihat shariah yang mempunyai reputasi terkenal di dalam dan luar negara.
Katanya, sindiket turut menggunakan khidmat ejen insurans yang bertauliah dan sebahagian daripadanya bekerja di bank.
“Hari ini (semalam) kita ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia selepas tiga laporan dibuat kepada polis, Bank Negara dan SSM.
“Kita harap SSM akan membuka kertas siasatan dan mendakwa pihak terlibat mengikut Seksyen 216 dan 591 Akta Syarikat kerana menipu,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Lutfi, 57, berkata, dia melabur selepas tertarik dengan janji pulangan yang realistik dan masuk akal.
“Dividen yang ditawarkan sebanyak 15 peratus sebulan dan ia angka standard mana-mana pelaburan,“ katanya.
Ain, 60, pula menggesa pihak berkuasa bertindak segera memandangkan mangsa-mangsa penipuan ini tidak semuanya orang yang berpendapatan tinggi dan memerlukan wang tersebut untuk kelangsungan hidup.
“Kami berharap pihak berkuasa dapat bertindak segera agar mereka yang bersalah tidak terlepas begitu sahaja. Kami bukannya orang senang dan memerlukan duit tersebut untuk membiayai keperluan keluarga dan banyak lagi,” katanya.- KOSMO! ONLINE