fbpx
Pakaian berjenama atau mewah kini boleh dipakai secara sewaan.

Sewa baju berjenama untuk OOTD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANGKAH Intan Nur Aisyah Mohd. Fadzil terhenti sejenak apabila matanya tertumpu pada deretan baju kurung berjenama yang tersusun rapi seindah paparan dalam majalah fesyen.

Setiap helaian tampak begitu terjaga dengan fabriknya licin beralun, coraknya anggun memikat dan warnanya berselang-seli dari tona lembut ke rona yang lebih berani.

Seolah-olah setiap satu sedang menunggu dengan sabar untuk dipilih, digayakan atau dibawa ke majlis istimewa.

Matanya meneliti satu per satu baju yang tergantung. Ada yang berpotongan moden dengan perincian halus dan ada pula yang klasik dan sarat tradisi.

Namun yang menarik, semua pakaian itu bukan untuk dibeli tetapi disewa sekali gus memberi peluang kepada pelanggan bergaya tanpa perlu memiliki.

Bagi pegawai sumber manusia di sebuah syarikat swasta itu, menyewa pakaian bukan sahaja menjimatkan kos, malah memberinya peluang memakai busana berjenama yang sebelum ini hanya mampu dilihat dari jauh.

“Sejak kebelakangan ini, saya kerap dijemput ke pelbagai acara sama ada majlis perkahwinan rakan atau acara kerja yang memerlukan penampilan lebih formal.

“Tapi saya memang kurang gemar membeli baju yang hanya akan dipakai sekali dua. Selain memakan ruang di rumah, ia juga membazir, terutama apabila bajunya mahal.

“Dengan menyewa pakaian berjenama, saya boleh tampil dengan gaya berbeza, tanpa perlu ulang pakai baju yang sama setiap kali hadir ke majlis,” katanya kepada CitaRasa.

Intan merupakan pelanggan setia We Rent Fashion (WRF), butik sewaan baju kurung yang beroperasi di Tamarind Square, Cyberjaya.

Dilancarkan pada 2022, platform tersebut merupakan yang pertama di Malaysia menggabungkan model sewa dan jual semula berasaskan teknologi serta prinsip ekonomi kitar semula.

Antara kategori paling mendapat sambutan termasuk baju kurung moden, kebaya dan dress labuh untuk majlis perkahwinan dan acara formal.

Butik tersebut turut menawarkan koleksi daripada pereka dan jenama tempatan terkenal seperti Innai Red, Fuzana Mokhtaza, Fiziwoo, Nurita Harith, Wanzar dan Qiszar.

Pakaian daripada jenama seperti Innai Red, Fiziwoo dan Nurita Harith dijual pada harga antara RM400 hingga RM5,000 sehelai, bergantung rekaan.

Wanzar dan Qiszar pula lebih mampu milik, sekitar RM150 hingga RM250.

Namun menerusi platform seperti We Rent Fashion, busana berjenama ini boleh disewa dengan harga serendah RM15 hingga RM50 sehari.

Perbezaan ini membolehkan lebih ramai tampil bergaya dalam jenama mewah tanpa beban kos tinggi atau perlu menyimpan pakaian selepas digunakan.

Perkara ini diakui oleh Nasyrah Nisak Ahmad, mahasiswa kejuruteraan tahun akhir di sebuah universiti di Melaka yang telah empat kali menggunakan khidmat sewaan baju kurung.

Sebagai pelajar berusia 25 tahun dengan bajet terhad, Nasyrah tetap mahu tampil bergaya untuk acara seperti konvokesyen dan sesi fotografi.

“Saya pernah sewa baju labuh elegan, kebaya dan baju kurung semuanya nampak cantik dan sesuai untuk gambar outfit of the day (OOTD).

“Paling berbaloi, saya sewa baju RM75 yang harga asalnya lebih RM700. Untuk saya, itu satu win!” katanya.

WE RENT FASHION terletak di Cyberjaya antara platform yang menyediakan khidmat sewa pakaian berjenama atau mewah.

Sementara itu, bagi eksekutif bank swasta, Norhidayah Radzali, menyewa pakaian memberinya keyakinan untuk mencuba pelbagai gaya baharu.

Sebelum ini, Norhidayah, 38, lebih selesa dengan pilihan selamat dan rekaan konservatif kerana bimbang pakaian yang dibeli tidak sesuai atau sukar dipadankan semula.

Namun sejak mula menyewa, dia lebih berani bereksperimen dengan potongan moden, warna terang dan rekaan yang lebih menonjol.

“Sejak menyewa, saya lebih berani bergaya moden dan eksklusif. Kalau tak sesuai pun, tak rasa rugi sebab tak beli. Yang penting, ramai puji,” ujarnya.

Untuk menyewa, pelanggan boleh memilih pakaian secara dalam talian atau terus ke butik fizikal di Tamarind Square, Cyberjaya, dengan tempoh sewaan minimum selama tiga hari.

Untuk online pula, penghantaran dibuat dua hingga tiga hari awal bagi pelanggan di luar Lembah Klang dan satu hingga dua hari lebih awal bagi yang berada di kawasan sekitar.

Pakaian tidak perlu dicuci selepas digunakan kerana cucian dikendalikan secara profesional dan lestari.

Pemulangan pula percuma, menerusi J&T untuk seluruh Malaysia atau Lalamove bagi kawasan Lembah Klang menjadikan pengalaman sewaan lebih lancar dan mesra pengguna.

Menurut Pengasas platform WRF, Suraidah Pudelani segalanya bermula daripada keresahan peribadinya yang melihat lebih 500,000 tan sisa tekstil dibuang setiap tahun di Malaysia.

“Berbekalkan hanya RM5,000 dari simpanan sendiri tanpa sebarang pelaburan luar, saya mulakan bisnes ini secara kecil-kecilan setelah berasa resah lihat kesan fast fashion.

“Hasil usaha kami, WRF telah menyelamatkan lebih 10,000 helai pakaian daripada pelupusan dan berkhidmat kepada lebih 10,000 pengguna di seluruh negara.

“Semua ini dicapai secara organik tanpa iklan berbayar hasil sokongan komuniti dan semangat membina masa depan fesyen yang lebih mampan untuk Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, seorang suri rumah, Siti Aisyah Hamid turut menjalankan perkhidmatan sama apabila menawarkan pakaian untuk disewa dan beroperasi dari rumah.

Semua baju yang disediakan dibeli melalui personal shopper (PN), dengan pemilihan saiz tertumpu kepada S, M dan L bagi memenuhi permintaan pelanggan yang paling kerap menyewa.

Kebanyakan pakaian merupakan milik sendiri atau dibeli khas untuk tujuan penyewaan terdiri jenama-jenama popular dengan harga asal antara RM400 hingga RM500 ke atas.

Kongsinya, pendapatan kasarnya setakat ini mencecah RM13,000 dengan modal permulaan sekitar RM9,000 bagi pembelian koleksi baju kurung berjenama.

“Untuk menyewa, pelanggan perlu membayar deposit sebanyak RM50 bagi pelanggan baharu dan RM30 untuk pelanggan tetap, dengan tempahan yang boleh dibuat seawal sebulan atau seminggu sebelum tarikh majlis.

“Bayaran penuh perlu diselesaikan sebelum penghantaran, manakala tempoh sewaan ditetapkan selama tiga hari dengan kadar antara RM70 hingga RM100 bergantung pada rekaan pakaian.

“Permintaan agak tinggi dan tidak bermusim memandangkan terdapat banyak acara yang memerlukan baju tradisional Melayu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN