ALOR SETAR – Seorang jurutera kerugian RM275,000 setelah terperdaya dengan pelaburan dalam talian yang dikenali sebagai ‘Pelaburan Wang MooMoo’ yang diiklankan di media sosial.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Superintendan Loi Yew Lik, polis menerima laporan berhubung kes tersebut daripada mangsa yang berusia 57 tahun semalam pada pukul 6 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling.
“Pada 20 April lepas, lelaki tersebut melayari aplikasi Facebook dan berminat dengan tawaran pelaburan mata wang China yang diiklankan dalam laman sosial berkenaan.
“Mangsa menekan pautan WhatApp yang tertera dan dimasukkan ke dalam satu kumpulan dikenali sebagai ‘6 Investment Securities International’ dan berinteraksi dengan beberapa individu menggunakan nombor telefon 019-2007253 dan 019-2345678.
“Suspek menjanjikan pulangan sebanyak 10 peratus dalam tempoh beberapa hari. Mangsa mula mempercayai mereka dan membuat lapan transaksi berjumlah keseluruhan RM275,000 ke dalam dua akaun syarikat atas nama CISI Infra Solution dan CISI CPT Infra Trading antara 27 Mei hingga 13 Jun,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, bagaimanapun mangsa tidak menerima sebarang keuntungan dan semakin curiga apabila suspek terus meminta wang tambahan dengan alasan untuk mendapatkan pulangan modal serta keuntungan seperti dijanjikan.
“Mangsa mula menyedari ditipu dan tampil membuat laporan polis. Justeru, pihak polis menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan pelaburan atas talian yang menjanjikan keuntungan tidak realistik dan mengelakkan daripada membuat sebarang pemindahan wang kepada individu yang tidak dikenali,” katanya. – KOSMO! ONLINE