fbpx

Semak semula RMK-13 bukan reaksi tergesa-gesa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi ketika sesi sidang media pada Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di IWK Eco Park @ Pantai Dalam. - Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan menyemak semula Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bukan satu reaksi tergesa-gesa, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, perkara tersebut telah dibincangkan sejak dua minggu lalu bermula daripada draf yang telah dibentangkan oleh Ketuasa Setiausaha (KSU) Kementerian Ekonomi kepada Jemaah Menteri.

“Kita sebenarnya dah berbincang, dalam sidang media saya beberapa minggu yang lalu saya telah
sebut bahawa Perdana Menteri telah memberi arahan.. Ini jauh sebelum ‘tweet’ dan sebagainya, untuk meneliti draf yang telah dibentangkan oleh KSU Kementerian Ekonomi.

“Seperti yang umum sedia maklum, sebarang dasar program ataupun keputusan yang dibuat, pertama, mesti dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Maka Perdana Menteri telah minta supaya pada Jumaat minggu lalu, semua kementerian meneliti draf dan menulis kepada Kementerian Ekonomi dengan maklum balas,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Program Nadi Aspirasi Nasional Bersama Anak Muda (NANBA) anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di Dewan Merbau, IWK Eco Park @ Pantai Dalam, di sini hari ini.

Fahmi berkata, susulan itu juga satu sidang khas Jemaah Menteri telah diadakan pada hari Isnin, awal minggu lepas untuk meneliti pandangan daripada semua kementerian.

“Dalam mesyuarat itu telah dilihat bahawa
banyak perkara yang telah diminta oleh kementerian-kementerian yang perlu diambil kira oleh Kementerian Ekonomi dalam membentuk dokumen RMK ke-13.

“Itulah antara sebab kenapa Jemaah Menteri pada Rabu yang lalu, mesyuarat yang terakhir, telah
memutuskan bahawa Datuk Seri Amir Hamzah, Menteri Kewangan ke-2 diminta untuk menggalas tugas dan fungsi Menteri Ekonomi,” katanya.

Terdahulu, bekas Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mempersoalkan sama ada langkah kerajaan menyemak semula RMK-13 adalah reaksi tergesa-gesa terhadap kritikan media sosial yang ditujukan kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Itu susulan pengumuman Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar semalam yang memaklumkan Amir Hamzah telah ditugaskan untuk “mengolah dan merombak semula” RMK-13 sambil menjalankan tugas dan fungsi menteri ekonomi berkuat kuasa serta-merta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI