SHAH ALAM – Kadar kebolehpasaran graduan Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meningkat kepada 81.23 peratus.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, berdasarkan statistik mendapati jumlah itu meningkatkan hampir tiga peratus berbanding 78.1 peratus pada 2023.
“Seiring Revolusi Industri 4.0, sektor pertanian mahu pendekatan baharu bagi meningkatkan produktiviti terutama menerusi teknologi robotik, Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI).
“TVET dilihat sebagai pemangkin bagi melahirkan bakat muda yang bukan saja mahir dalam aspek teori namun cekap dalam aplikasi praktikal,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival TVET Pertanian KPKM di Seksyen 32 di sini, petang ini.
Menurut Mohamad, kadar kebolehpasaran graduan tertinggi bagi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) adalah dalam bidang poultri atau ternakan iaitu sebanyak 100 peratus.
Dalam perkembangan lain, Mohamad memberitahu bekalan tanaman dan ternakan di seluruh negara masih terkawal susulan fenomena cuaca panas serta kering yang melanda negara ketika ini.
Jelasnya, setakat ini tiada aduan atau maklumat diterima mengenai isu bekalan yang terjejas teruk. – KOSMO! ONLINE