TEMERLOH – Dua lelaki ditahan kerana memiliki sejumlah peluru, tiga ekor pelanduk serta seekor burung merbah dalam operasi bersepadu di Jalan Jerantut-Temerloh di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kesemua peluru dan haiwan berkenaan ditemukan di dalam trak pikap jenis Toyota Hilux dinaiki suspek dalam operasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemukan 18 biji peluru penabur, satu kelongsong peluru penabur 70 milimeter, tiga karkas dipercayai pelanduk, seekor burung merbah dan sejumlah perangkap.
“Suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan gagal mengemukakan lesen memiliki senjata api,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mazlan kedua-dua suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Temerloh untuk siasatan lanjut.
“Suspek akan dibawa ke mahkamah bagi tujuan reman dan soal siasat akan diteruskan bagi mendapatkan maklumat bersabit senjata api dan amunisi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE