BANGKOK – Seorang pelajar di Thailand terpaksa meninggalkan dewan peperiksaan kerana hadir dengan memakai pakaian seragam wanita, lapor laman berita Must Share News semalam.
Kejadian berlaku semasa pelajar berkenaan menduduki peperiksaan untuk mendapatkan lesen guru.
Dalam hantaran di laman Facebook, pelajar lelaki dikenali sebagai Charleamchai Dechbamrung berkata, dia dihalang daripada mengambil peperiksaan tersebut kerana berpakaian tidak mengikut jantina semasa lahir.
Dalam kejadian 21 Jun lalu, Charleamchai mendakwa bahawa peraturan peperiksaan yang dinyatakan hanya mewajibkan pelakar memakai pakaian rasmi untuk menduduki peperiksaan tanpa menetapkan ia mesti berdasarkan jantina asal seseorang.
“Masa dan peluang terbuang begitu saja,” katanya.
Charleamchai bagaimanapun menambah, dia tidak berputus asa dan bersedia untuk menduduki peperiksaan semula untuk mendapatkan lesen gurunya pada November ini.
Kisahnya digunakan oleh parti pembangkang untuk mempersoalkan tentang komitmen kerajaan terhadap masyarakat inklusif. – AGENSI