PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju mengecualikan beberapa buah import terpilih seperti epal, oren, limau mandarin dan kurma daripada dikenakan cukai jualan selepas meneliti maklum balas berkenaan pelaksanaan peluasan cukai berkenaan bermula 1 Julai ini.
Kementerian Kewangan berkata, keputusan itu antara tiga pindaan utama terhadap peluasan skop cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.
Katanya, kerajaan juga tidak akan mengenakan Cukai Jualan ke atas beberapa barangan keperluan harian bagi meringankan tekanan kos sara hidup rakyat.
“Barangan keperluan harian yang dikecualikan daripada cukai jualan ini sama ada dihasilkan dalam negara atau diimport termasuk beras, ayam, daging lembu, sayur- sayuran dan telur.
“Ikan tempatan seperti selar, tongkol, cencaru dan sardin, sama ada dalam bentuk sejuk beku, sejuk dingin atau segar juga akan terus dikecualikan,” katanya hari ini.
Kementerian Kewangan berkata, bagi mengurangkan bilangan perniagaan kecil yang terkesan akibat peluasan skop cukai perkhidmatan, kerajaan juga memutuskan menaikkan had nilai ambang pendaftaran bagi perkhidmatan pajakan atau sewaan serta perkhidmatan kewangan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.
“Selain itu, ambang jualan tahunan bagi perniagaan yang tertakluk kepada cukai perkhidmatan untuk perkhidmatan sewaan atau pajakan turut dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.
“Ini bermakna hanya perniagaan yang mencatatkan jualan tahunan melebihi RM1 juta akan dikenakan cukai perkhidmatan atas perkhidmatan sewaan atau pajakan. Ia untuk membolehkan lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menikmati manfaat pengecualian cukai,” katanya.
Selain itu, cukai perkhidmatan tidak akan diperluas kepada perkhidmatan kecantikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memutuskan untuk tidak meneruskan peluasan skop cukai perkhidmatan kepada perkhidmatan kecantikan seperti rawatan kuku, rawatan wajah serta khidmat gunting rambut dan pendandan rambut.
“Sebagai sebahagian usaha memahami pandangan akar umbi, Kementerian Kewangan juga telah mengadakan sesi libat urus bersama beberapa Ahli Parlimen penyokong kerajaan semalam.
“Kerajaan kekal bersedia untuk memastikan semakan semula SST ini bersifat progresif, serta mengurangkan sebaiknya kesan terhadap barangan keperluan asas rakyat dan beban yang ditanggung oleh perniagaan kecil,” katanya Kementerian Kewangan. – KOSMO! ONLINE