fbpx
BANYAK perbincangan dan reaksi yang timbul berhubung pengenaan SST ke atas buah diimport. - GAMBAR HIASAN

Kecualikan buah-buahan daripada SST

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELAIN tarif elektrik baharu, antara pembaharuan oleh Kerajaan Madani yang bakal bermula Julai ini ialah peluasan skop pengenaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Banyak perbincangan dan reaksi yang timbul berhubung langkah berkenaan, seperti pengenaan SST ke atas buah diimport, hanya buah-buahan yang ditanam secara tempatan dikecualikan.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd., Datuk Ameer Ali Mydin antara yang lantang menyifatkan keputusan itu sebagai tidak rasional kerana turut memberi kesan kepada pengguna berpendapatan rendah.

“Saya memang tak setuju dan tak masuk akal jika buah asas macam epal, oren, pisang dan lain-lain kena SST. Semua ni makanan B40,” katanya.

Nampaknya keluh kesah rakyat berhubung perkara ini didengar kerajaan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan epal dan oren merupakan produk import dikecualikan SST.

“Masih ada orang mengeluh katanya orang kampung, orang miskin hendak juga makan epal.

“Jadi, semalam kita (putuskan) beri kelonggaran, import buah-buahan memang ada sedikit cukai tetapi dikecualikan epal dan oren,” katanya.

Penulis tidak punya maklumat sebanyak mana cukai yang boleh dikutip daripada buah import, tetapi mungkin lebih baik sekiranya semua jenis buah dikecualikan sahaja SST.

Alasan ingin memperkasakan industri buah-buahan tempatan mungkin boleh diterima dari sudut dasar ekonomi dan perlindungan hasil tempatan, namun dari sudut pandang kesihatan awam dan kebajikan rakyat, pasti lebih baik sekiranya buah tidak dikenakan cukai langsung.

Sementara itu, ahli ekonomi, Dr. Muhammed Abdul Khalid dalam satu rancangan audio siar baru-baru ini berkata, sekiranya cukai makanan naik, yang paling terkesan ialah orang susah kerana bagi golongan B40, lebih kurang 40 hingga 50 peratus daripada pendapatan mereka akan digunakan untuk pembelanjaan makanan sama ada makanan di rumah, memasak, atau makan di luar.

“Jadi bila cukai makanan dikenakan dia akan memberi tekanan, itu nombor satu. Nombor dua, kos sara hidup memang sudah naik.

“Kos naik itu agak normal, semua barang naik tetapi harga barang naik, gaji tak naik jadi kuasa beli kita jatuh.

“Kalau kita tengok tempoh lima tahun kebelakang, antara 2019 hingga 2024 harga makanan naik 17 peratus, gaji naik tujuh peratus,” katanya.

Tambah beliau, kesannya bukan sekadar kepada ibu bapa yang akan mengalami tekanan kewangan, malah ia juga boleh dipindahkan kepada anak-anak mereka.

“Di Malaysia memang ada masalah kekurangan zat, 40 hingga 50 peratus orang kita gemuk, budak-budak banyak bantut jadi bila cukai buah-buahan walaupun buah import, lagi orang tak beli, jadi budak-budak banyak tak sihat.

“Ini bukan sekadar dia kurang tinggi dua inci, tapi melibatkan perkembangan minda dan otak. Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 24 peratus gagal matematik, 30 peratus dapat D atau E.

“Dia bukan hanya cukai naik, kuasa beli kurang, kesannya berangkai dan akan beri kesan pada masa depan. Jangka panjang, jurang kaya dan miskin makin lebar,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN