fbpx
KREJCIKOVA

Juara Wimbledon enggan ambil risiko

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Persiapan Barbora Krejcikova bagi menghadapi Wimbledon sedikit merisaukan apabila juara bertahan edisi lalu itu terpaksa menarik diri daripada meneruskan perjuangan di Terbuka Eastbourne selepas mengalami kecederaan paha.

Bintang dari Republik Czech itu membuat keputusan mengejut itu hanya empat hari sebelum dia dijadualkan membuka gelanggang untuk mempertahankan gelaran Wimbledon yang akan bermula Selasa ini.

Krejcikova, 29, sebelum ini menang dua perlawanan pertama di Eastbourne, menewaskan wakil tuan rumah, Harriet Dart dan Jodie Burrage dalam aksi tiga set yang berlangsung penuh sengit.

Dia sepatutnya berdepan pemain Perancis, Varvara Gracheva di suku akhir semalam, namun membuat keputusan untuk menarik diri sebelum perlawanan bermula selepas berasa sakit di paha kanannya.

“Saya sangat kesal kerana terpaksa membuat keputusan menarik diri. Saya mengalami sedikit kesakitan di paha kanan sejak semalam dan ia bertambah teruk malam tadi.

“Memandangkan Wimbledon hanya beberapa hari lagi, saya rasa lebih baik berehat seketika, dapatkan rawatan dan pastikan saya tahu apa yang sedang berlaku,” kata Krejcikova.

Terbuka Eastbourne adalah sebahagian daripada persiapan terakhir pemain ke-17 dunia itu sebelum Wimbledon di mana dia mencipta kejutan besar menewaskan Jasmine Paolini dari Itali pada final tahun lalu.

Musim ini, Krejcikova berdepan tugas mencabar kerana dia baru kembali beraksi selepas berehat panjang akibat kecederaan belakang dan hanya sempat bermain enam perlawanan.

Krejcikova tewas di pusingan pertama Kejohanan Queen’s minggu lalu dan di Eastbourne, dia terpaksa menyelamatkan mata kemenangan lawan sebelum menewaskan Dart dan Burrage. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI