PUTRAJAYA- Tiada penutupan jalan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula 8 hingga 11 Julai ini.
Perkara itu dimaklumkan Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, penutupan jalan akan dibuat semula bagi Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog bermula Oktober depan.
“Tidak (tiada penutupan jalan) untuk acara (Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58) tersebut tapi ada penutupan jalan bagi Sidang Kemuncak ASEAN bersama Rakan Dialog.
“Insya-Allah (penutupan jalan) pada hujung Oktober dan maklumat lanjut akan dimaklumkan menjelang tarikh tersebut,” katanya.- KOSMO! ONLINE