fbpx

Sanggup terbang ke Malaysia hanya demi mi segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CAKRA KHAN bakal kembali menjayakan konsert di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 2 Ogos depan.

PETALING JAYA – Makanan adakalanya mampu membuatkan pemujanya penasaran atau tidak senang duduk.

Perkara sama berlaku kepada penyanyi seberang, Cakra Khan apabila mengakui jatuh cinta dengan keenakan mi segera perisa kari sehingga sanggup membawa pulang makanan sinonim masyarakat marhaen tersebut ke tanah airnya setiap kali berkunjung ke Malaysia.

Dedah Cakra atau nama lengkapnya Cakra Konta Paryaman, 33, dia akan membeli berkotak-kotak mi segera buatan Malaysia untuk dijadikan stok sebaik pulang ke Indonesia.

“Saya akan bawa pulang berkotak-kotak sehingga pihak berkuasa di lapangan terbang sangka saya mahu jual semula tapi tidak, saya buat makan di rumah.

“Setiap orang yang ikut saya ke Kuala Lumpur akan bawa sekotak untuk dibawa pulang ke Indonesia,” katanya kepada Kosmo! Online semasa sidang akhbar konsert Divine Cakra Khan, di Alila Bangsar, semalam.

Selain perisa kari, Cakra juga memberitahu dia sangat menyukai mi goreng mamak yang juga menu wajib setiap kali ke negara ini.

Lebih melucukan, penyanyi lagu popular Kekasih Bayangan itu juga sanggup terbang ke Malaysia andai kehabisan stok mi segera.

“Kadang-kadang kalau ke sini pihak berkuasa di lapangan terbang akan tanya ada acara apa di Malaysia.

“Tapi sebenarnya saya cuma nak tambah stok mi segera kari saya. Mungkin mereka pun dah bosan tengok muka saya,” ujarnya.

Berkongsi lanjut, Cakra turut berkongsi keistimewaan mi segera kari sehingga membuatkannya sanggup memborong dalam jumlah besar.

“Di Indonesia ada satu jenama mi segera yang saya suka tapi rasa kari sangat berbeza. Perisa mi segera kari yang dijual di sini mempunyai keunikan tersendiri.

“Dari dahulu saya sudah pakar masak mi segera. Ibu selalu pesan supaya tambah sayuran dan telur yang banyak.

“Biasanya saya akan hidangkan dalam mangkuk besar sebab ada banyak bahan campuran lain,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Cakra bakal mengadakan Cakra Khan Divine Concert di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 2 Ogos depan.

Tiket boleh didapati di www.ticket.asia bermula harga RM225 hingga RM1,295.

Selain di Kuala Lumpur, konsert anjuran Shiraz Projects tersebut terlebih dahulu akan singgah di The Star Theatre, Singapura pada 18 Julai ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI