fbpx

Pemandu ‘sorok’ saman, syarikat tetap perlu bertanggungjawab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony ketika menyampaikan taklimat dan sidang media pengumuman pendigitalan Pas MY50 di Stesen KL Sentral, hari ini.

KUALA LUMPUR- Alasan pemandu ‘sorok’ saman tidak boleh dijadikan tiket buat syarikat pengendali lori dan bas ekspres untuk lepas tangan daripada membayar kompaun yang dikenakan pihak berkuasa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, isu pemandu tidak memaklumkan saman kepada majikan bukan alasan untuk mengelak tanggungjawab kerana permit dan kenderaan didaftarkan atas nama syarikat pengendali.

Beliau berkata, tindakan menyalahkan pemandu seolah-olah cuba melepaskan tanggungjawab sedangkan permit kenderaan dikeluarkan kepada syarikat, bukan individu.

Katanya, pengawasan terhadap pemandu terletak di bawah kawal selia sepenuhnya pihak pengurusan syarikat dan bukan tanggungjawab Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Saman tetap saman. Permit dikeluarkan kepada syarikat, bukan pemandu. Kita tidak boleh terima alasan seperti itu. Bila permit milik syarikat, syarikat perlu bertanggungjawab penuh.

“Apabila kenderaan disaman, syarikat pemilik tetap perlu bertanggungjawab, tidak kira siapa yang pandu lori atau bas itu,” katanya pada sidang media pengumuman pendigitalan Pas MY50 di Stesen KL Sentral, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan terdapat pemandu menyembunyikan saman sehingga menyebabkan syarikat KDEB Waste Management Sdn. Bhd. merekodkan 22,017 saman aktif.

Terdahulu, media melaporkan, Kementerian Pengangkutan melalui JPJ mengumumkan senarai 28 buah syarikat pengendali kenderaan barangan dan bas ekspres yang mencatatkan jumlah saman tertinggi atas pelbagai kesalahan.

Syarikat KDEB Waste Management Sdn. Bhd. mencatatkan saman aktif tertinggi berjumlah 22,017 manakala syarikat-syarikat bas ekpres ada 5,362 saman yang paling tinggi ialah Cepat Ekspres Sdn. Bhd. dengan jumlah 540 saman.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, pengurusan dalaman syarikat harus bertanggungjawab memantau rekod saman serta mengurus pemandu dengan lebih berkesan agar kesalahan tidak berulang.

“Kalau ada pemandu sembunyikan saman, itu urusan syarikat untuk pastikan sistem pemantauan mereka cekap.

“Apa yang penting, kerajaan melalui JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan terus memperketat pemantauan dan audit ke atas syarikat-syarikat yang mempunyai rekod saman tinggi, terutama pesalah berulang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI