fbpx

PBAPP catat keuntungan tertinggi RM144.16 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kon Yeow (kanan) ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-25 PBAHB di George Town, hari ini.

GEORGE TOWN – PBA Holdings Berhad (PBAHB) bersama anak syarikat miliknya, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mencatat sejarah dengan merekodkan keuntungan bersih tertinggi sejak penubuhannya 26 tahun lalu apabila berjaya meraih RM144.16 juta pada 2024.

Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Pengerusi PBAPP, Chow Kon Yeow berkata, jumlah itu merupakan lonjakan sebanyak 319.7 peratus berbanding keuntungan bersih RM34.348 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

”Meskipun pencapaian ini membanggakan, keuntungan berkenaan bukanlah untuk memperkayakan syarikat atau menambah tabung kewangan semata-mata.

”Untuk makluman, PBAPP perlu melabur kira-kira RM2.1 bilion bagi menyiapkan enam projek infrastruktur air baharu di bawah Pelan Kontingensi Air 2030 (WCP 2030).

”Bagi tahun ini sahaja, PBAPP dijangka memperuntukkan sebanyak RM86.8 juta dalam perbelanjaan modal untuk menaik taraf infrastruktur sedia ada,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-25 PBAHB di sini, hari ini.

Menurut Kon Yeow, walaupun Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bersetuju menyediakan kemudahan pajakan jangka panjang bagi dua projek di bawah WCP 2030, PBAHB dan PBAPP masih memerlukan sekurang-kurangnya RM1 bilion.

Katanya, ia bagi memastikan keseluruhan projek mega bekalan air di negeri ini dapat direalisasikan menjelang 2030.

Dalam perkembangan lain, katanya, PBAPP turut mencatatkan purata pengeluaran air terawat tertinggi dalam sejarah Pulau Pinang, iaitu sebanyak 1,208 juta liter sehari (JLH) pada tahun lalu.

”Jumlah ini disokong oleh peningkatan kapasiti reka bentuk maksimum kepada 1,726 JLH menerusi pembukaan Pakej 12A Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua pada September 2023.

”Dengan kapasiti ini dan kadar pengeluaran air terawat sebanyak 1,208 JLH, kita telah berjaya mencapai margin rizab rawatan air sebanyak 30 peratus bagi tahun 2024,” katanya.

Sementara itu, katanya, AGM ke-25 PBAHB turut meluluskan dividen akhir satu peringkat sebanyak 2.25 sen sesaham.

”Jumlah pembayaran yang diunjurkan ialah RM7.5 juta kepada 7,157 pemegang saham pada 1 Ogos depan. Ini menjadikan tahun ke-24 berturut-turut syarikat membayar dividen kepada para pemegang sahamnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI