EDINBURGH – Sebuah pulau persendirian yang menempatkan istana kota (kastil) di Scotland, diiklankan untuk dijual buat pertama kali pada harga cuma £5.5 juta (RM31.8 juta), lapor akhbar The Sun UK semalam.
Dinamakan Pulau Shuna, hartanah seluas 449.20 hektar itu terletak di luar Pantai Appin, Argyll serta Bute.
Pulau Shuna mempunyai lapan kediaman dan sebuah kastil dikenali sebagai Kastil Shuna yang dibina pada awal abad ke-20.
Lapan kediaman tersebut mampu menempatkan seramai 52 orang.
Selain menawarkan pemandangan pantai Scotland, pulau itu juga dilengkapi helipad dan jeti peribadi serta laluan susur untuk bot.
Pemilik boleh menaiki helikopter dari Lapangan Terbang Glasgow, kira-kira 88.51 kilometer untuk sampai ke pulau tersebut.
Ejen hartanah Sotheby’s International Realty menyifatkan Pulau Shuna sebagai tawaran yang jarang ditemui selain kaya dengan warisan. – AGENSI