fbpx

Henti budaya turun padang jumpa rakyat saat akhir menjelang pilihan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar beramah mesra bersama tetamu ketika hadir merasmikan Projek Pembangunan Kota Madani di Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR

PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan wakil rakyat supaya menghentikan budaya turun padang bertemu rakyat hanya pada saat-saat akhir menjelang pilihan raya.

Perdana Menteri berkata, sebagai pemimpin yang dipilih rakyat, mereka sepatutnya terus konsisten berkhidmat untuk rakyat sepanjang masa.

Beliau berkata, pendekatan Madani bukan gimik politik terutama menjelang pilihan raya, sebaliknya memberi perhatian kepada kelompok majoriti rakyat.

“Inilah yang berlaku. Sebab itu saya lihat, setiap hari Jumaat, saya pergi makan di warung dulu atau di gerai dalam 15 hingga 20 minit sebelum solat Jumaat.

“Ini sahaja cara kita lihat soal kebersihan dan kemudahan kerana ia menyentuh kepentingan 80 peratus rakyat.

“Saya tidak mahu bawa mereka pergi hanya dua bulan sebelum pilihan raya. Kerana dua bulan sebelum pilihan raya, semua orang politik akan cium bayi, akan jalan di warung, akan tanya khabar di rumah. Saya kena hentikan budaya itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kota Madani di sini hari ini.

Anwar berkata, sejak awal kepimpinan Madani pada Disember 2022, beliau sendiri akan turun padang setiap Jumaat untuk menyantuni rakyat sebelum menunaikan solat Jumaat.

“Dari awal bulan Desember 2022 setiap minggu hari Jumaat tanpa kecuali, saya santuni orang ramai di warung dan gerai sebelum ke solat Jumaat.

“Budaya ini supaya kita tahu keutamaannya. Bukan saya nak cakap, saya nak ceritakan ini ada mesejnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI