PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon Azza terkilan apabila segelintir pihak mempertikai kemampuan kumpulan Elite untuk membuat persembahan pada Konsert Elite Live’25 yang akan berlangsung 20 September depan.
Menurut Azza atau nama sebenarnya Noor Azzarima Zawari, 48, yang juga salah seorang ahli kumpulan tersebut, dia kecewa apabila ramai pihak memuat baik komen yang boleh membantutkan semangat mereka untuk mengadakan konsert.
“Ada orang suka, ada orang tak suka. Tidak mengapa.
“Tapi, janganlah bagi patah semangat. Tapi tak apalah. Mudah-mudahan yang tak, suka akan suka,” katanya dalam aplikasi Threads.
Hantaran tersebut seterusnya meraih respons daripada Abby Abadi yang memintanya tidak terpengaruh dengan komen-komen negatif netizen.

“Usah dilayan,” katanya ringkas.
Sejak semalam, nama Elite menjadi bahan bualan hangat netizen yang melahirkan kerisauan tentang kemampuan lima anggota kumpulan tersebut untuk mengadakan sebuah konsert.
Kata segelintir pihak, Elite tidak sepatutnya terlalu bercita-cita tinggi untuk mengadakan konsert seperti KRU kerana tidak mampu menyanyi secara ‘live’ dengan baik.
“KRU nak buat konsert, mereka pun sibuk juga tapi tak boleh nyanyi ‘live’, semput.
“Kenapa tiba-tiba semua nak buat konsert? Lagu pun tak banyak yang popular.
“Risaulah bila dengar Elite nak nyanyi ‘live’ atas pentas. Boleh ke?” komen netizen.
Dalam masa sama, terdapat juga netizen yang berpendapat agar tidak terlalu menghentam kumpulan tersebut dan menyambut baik penganjuran konsert tersebut.
Terdahulu, Elite mengumumkan bakal mengadakan konsert berskala besar di Plenary Hall, KLCC pada September depan selepas melihat respons positif orang ramai ketika menjadi penyanyi jemputan pada konsert GenKRU di Axiata Arena, Bukit Jalil baru-baru ini.
Konsert tiket bakal dijual bermula esok dengan harga bermula RM268 sehingga RM1,088. – KOSMO! ONLINE