fbpx

‘Saya pernah diugut, ditawar sogokan supaya tunduk’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq kelihatan sebak ketika dipeluk ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz di Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menzahirkan rasa syukur dan kelegaan setelah Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan beliau daripada empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), menamatkan penantian penuh ujian selama lima tahun.

Menurut bekas Menteri Belia dan Sukan itu, beliau mengakui percaya kepada diri walaupun berdepan pelbagai ujian termasuk pernah digertak, diugut serta ditawar sogokan sepanjang prosiding di mahkamah.

“Saya pernah digertak, pernah diugut, malah ditawar sogokan supaya tunduk. Tapi saya pilih untuk lawan. Saya percaya, kalau kita di pihak benar, Allah akan buka jalan.

“Saya masuk hari ini bersedia untuk apa-apa keputusan. Saya tahu saya berhak, tetapi lima tahun ini sangat mencabar. Ada pihak cuba calar integriti saya. Ibu saya sampai ‘relaps’ kanser kerana tekanan.

“Saya tolak jalan mudah kerana saya yakin hanya mahkamah mampu bersihkan nama saya. Saya sayang negara ini lebih dari kehidupan saya. Saya tak berdendam walau terhadap musuh politik sendiri. Saya tak mahu mereka lalui apa yang saya lalui,” katanya di sidang akhbar disini, hari ini.

Syed Saddiq juga menegaskan bahawa keputusan melepaskan jawatan Presiden Parti Muda sebelum ini adalah kerana prinsip moral, bukan tekanan mana-mana pihak.

“Dalam politik Malaysia, kita perlukan pemimpin yang ‘whiter than white’. Saya letak jawatan kerana saya fikir itu perkara yang betul dan bermaruah. Saya akan kekal berkhidmat untuk rakyat dan negara,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut membuat permintaan agar diberikan sedikit masa berehat bersama keluarga.

“Saya mungkin nampak kuat, tapi hanya Tuhan tahu apa saya dan keluarga lalui. Saya perlukan sedikit masa untuk bersama keluarga, selepas lima tahun ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI