fbpx

‘Saya doakan Allah beri hidayah kepada yang aniaya Syed Saddiq ‘

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ciuman ibu kepada Syed Saddiq di pekarangan Mahkamah Rayuan Putrajaya disini, hari ini.

PUTRAJAYA – “Balasannya bukan hanya di akhirat, tetapi di dunia pun akan ada.”

Demikian luahan ibu kepada Ahli Parlimen Muar, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membebaskan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada semua empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Menurut Sharifah Mahani, beliau memaafkan pihak yang menganiaya anaknya namun mendoakan agar mereka diberikan hidayah oleh Allah.

“Sebagai seorang ibu, lima tahun itu bukan sekejap. Penuh cabaran dan dugaan, tetapi saya tahu Saddiq buat semuanya kerana Allah dan untuk rakyat,” katanya.

Beliau turut berkongsi rasa syukur dan terima kasih atas sokongan pelbagai pihak yang sentiasa berada di sisi anaknya sepanjang tempoh perbicaraan berlangsung.

Tambahnya, sebagai ibu, pernah terdetik di hati untuk menyuruh anaknya berhenti daripada dunia politik kerana terlalu mencabar dan penuh tekanan, namun semangat perjuangan Syed Saddiq untuk negara serta rakyat mengatasi segala-galanya.

“Saddiq semangatnya kuat untuk Malaysia, tidak kira bangsa atau agama.

“Sebagai seorang ibu, saya diamanahkan untuk pastikan perjuangannya berjaya kerana Allah,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan hari ini atas empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim
selepas membenarkan rayuan Syed Saddiq selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Dua lagi hakim yang turut bersidang Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

Dalam penghakiman, panel mendapati sabitan yang dikenakan terhadap Syed Saddiq oleh Mahkamah Tinggi terhadap keempat-empat pertuduhan tidak selamat selain mahkamah terdahulu tersalah arah dalam mensabitkan hukuman itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI