LONDON – Sebuah kilang pengeluar kenderaan, Jaguar Land Rover (JLR) di Birmingham, Britain terbakar dengan lapan jentera bomba bergegas ke tempat kejadian, lapor portal berita The Sun UK semalam.
Asap memenuhi langit di sekitar kilang tersebut ketika 50 anggota dari sembilan balai bomba berbeza bertungkus lumus memadamkan kebakaran.
Tahap kerosakan di kilang yang dianggarkan bernilai £500 juta (RM2.8 bilion) itu masih belum diketahui tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
Perkhidmatan Bomba West Midlands mengesahkan bahawa kebakaran telah dipadamkan sejurus selepas pukul 9.30 pagi (waktu tempatan), manakala alat penyiram kebakaran dinyahaktifkan.
“Asap yang datang dari bangunan itu menjulang ke langit.
“Saya melihat asap itu dari beberapa kilometer jauhnya, dan ketika semakin dekat, saya menyedari ia adalah bangunan JLR,” kata seorang pemandu yang melalui lokasi kejadian.
Jurucakap syarikat itu berkata, kebakaran berlaku di kilang pembuatan kenderaan dan punca kejadian sedang disiasat. – AGENSI