WASHINGTON – Sebuah kapal kargo yang membawa 3,000 kereta termasuk 800 kenderaan elektrik (EV) karam di tengah Lautan Pasifik beberapa minggu selepas terbakar, lapor akhbar New York Post semalam.
Kapal Morning Midas sepanjang 182.88 meter itu terbakar pada awal bulan ini ketika dalam perjalanan ke Pelabuhan Lazaro Cardenas di Mexico dari China.
Kebakaran besar memaksa semua kru meninggalkan kapal di tengah laut.
Syarikat yang memiliki Morning Midas, Zodiac Maritime berkata, kapal itu karam pada kedalaman kira-kira 4.8 kilometer di perairan antarabangsa.
“Kapal itu dilemahkan akibat kerosakan kebakaran dan cuaca ekstrem,” kata syarikat tersebut.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, dua kapal tunda yang mengandungi peralatan kawalan pencemaran akan kekal di lokasi kejadian untuk memantau sebarang pencemaran atau serpihan.
“Kesemua kru berjaya diselamatkan,” kata Zodiac Maritime.
Syarikat itu juga akan bekerjasama dengan Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) dan Resolve Marine. – AGENSI