JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan gerak-geri aneh seorang wanita menabur sesuatu di sekeliling sebuah gerai burger pada waktu tengah malam, lapor laman berita Lambe Turah hari ini.
Kejadian berlaku di Blitar, wilayah Jawa Timur.
Dalam rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dikongsikan, seorang wanita memakai baju berwarna kuning menghampiri gerai tersebut.
Dia kemudian menabur sesuatu di sekeliling gerai itu, namun tidak dapat dipastikan objek berkenaan.
“Sedang berfikir mengenai pelan untuk membangunkan perniagaan, tiba-tiba terlihat rakaman video ini. Seorang wanita melakukan gerak-geri mencurigakan seperti menabur sesuatu di sekitar kawasan gerai,” tulis keterangan video yang dimuat naik di platform TikTok.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada pengguna media sosial.
“Masih ada yang sanggup mengganggu orang lain dengan cara begini,” kata seorang netizen. – AGENSI