JOHOR BAHRU – Seorang pegawai pemeriksa kenderaan bimbang akan keselamatan diri dan ahli keluarganya apabila kediaman mereka di Taman Pulai Jaya, di sini menjadi sasaran sindiket along.
Lebih merisaukan, hutang tersebut bukan dibuat oleh diri atau ahli keluarga terdekatnya tetapi sepupunya yang menghilangkan diri sejak lebih lima tahun lalu.
R. Nithiyananthan, 32, berkata, kejadian pertama berlaku pada tahun 2023 lalu, apabila kediaman dan kenderaannya disimbah cat merah menyebabkan kerugian lebih RM1,000.
“Namun difahamkan hutang itu telah diselesaikan tidak lama kemudian. Terbaharu pada pukul 9 malam, 5 Jun lalu, rumah saya sekali lagi disimbah cat merah ketika kami sekeluarga keluar makan.
“Apabila pulang kami dapati cat merah telah memenuhi kawasan parkir, pagar dan tembok rumah. Saya terus menghubungi abang saudara bertanyakan tentang perkara itu dan dimaklumkan dia ada berhutang sebanyak RM7,000,” katanya kepada pemberita.
Nithiyananthan yang menetap di kediaman itu bersama ibu, isteri dan seorang anak perempuan berusia satu tahun turut memberitahu, sepupunya itu tidak pernah tinggal di rumah tersebut.
“Saya tidak faham mengapa sindiket along ini menyasarkan kediaman kami. Kami pernah hubungi nombor along berkenaan dan memaklumkan perkara tersebut, sebaliknya along itu membuat ugutan mahu membakar kediaman kami sekiranya hutang tidak dibayar.
“Disebabkan bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga, saya telah membuat dua laporan polis. Satu di Balai Polis Kangkar Pulai, manakala satu lagi di Singapura kerana nombor telefon digunakan along itu adalah nombor Singapura,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE