DOHA – Qatar mengumumkan bahawa ruang udara negara berkenaan dibuka semula, kata pihak berkuasa penerbangan Doha hari ini.
Ruang udara itu dibuka semula selepas Iran melancarkan gelombang serangan peluru berpandu menyasarkan pangkalan tentera Al Udeid milik Amerika Syarikat (AS) di Qatar.
“Pihak Berkuasa Penerbangan Awam mengumumkan pembukaan semula trafik udara di ruang udara negara Qatar dan suasana kembali normal,” kata pihak berkuasa itu dalam satu kenyataan di laman X.
Iran melancarkan serangan peluru berpandu semalam ke atas pangkalan tentera Al Udeid bagi membalas dendam pengeboman AS ke atas tiga tapak nuklearnya.
Presiden Donald Trump bagaimanapun berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam serangan tersebut.
Beliau berkata, AS telah diberi amaran oleh Iran terlebih dahulu sebelum ia menyerang pangkalan tersebut.
Qatar yang mengutuk serangan itu berkata, tenteranya berjaya memintas peluru berpandu balistik jarak dekat dan sederhana milik Iran.
Menurut Tehran, bilangan misil yang dilancarkan adalah sepadan dengan jumlah bom yang digugurkan oleh AS di tiga kemudahan nuklear Iran pada hujung minggu lalu. – AFP/AGENSI