fbpx

Ops Luxury: 101 kereta mewah disita, termasuk milik selebriti tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aedy Fadly ketika melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan jenis Porsche pada sidang akhbar berhubung Ops Luxury di JPJ Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 101 buah kenderaan mewah disita termasuk sebuah kenderaan Porsche milik selebriti tempatan dalam Ops Luxury yang dijalankan secara bersepadu di seluruh negara sejak 1 Jun hingga hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, antara jenama kenderaan yang disita termasuk Ferrari, Rolls-Royce, Bentley, Porsche Cayenne, BMW 530E, Lotus Elise S, Toyota Alphard, Vellfire dan Mercedes-Benz.

Katanya, kesemua kenderaan yang disita dikenal pasti melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Antara kesalahan utama yang dikesan adalah penggunaan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans sah dan lesen memandu tidak sah atau tamat tempoh

“Selain itu, kesalahan turut dikesan melibatkan pamer nombor kenderaan lain, ketidakpadanan nombor casis dan penggunaan ‘trade plate’ palsu,” katanya pada sidang akhbar Ops Luxury, hari ini.

Beliau berkata, semua kenderaan yang disita kini berada di depoh simpanan JPJ untuk siasatan lanjut dan tindakan penguatkuasaan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.

“JPJ ingin menegaskan bahawa pemilikan kenderaan mewah bukan tiket untuk mengabaikan undang-undang jalan raya. Undang-undang terpakai kepada semua tanpa mengira status,” ujarnya.

Tagasnya, pelaksanaan Ops Luxury ini memberi isyarat jelas bahawa JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan
jalan raya.

“Pemilikan kenderaan mewah bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya yang sah,” ujarnya.

Pihaknya turut menyeru orang awam agar menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang trafik melalui Aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau emel [email protected].

“JPJ akan terus melaksanakan Ops Luxury secara berkala bagi memastikan hanya kenderaan yang sah, selamat dan berdaftar dibenarkan berada di atas jalan raya.

“Ini demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta integriti sistem pengangkutan negara terus terpelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI