KUALA LUMPUR – Pengendali skuad bawah 23 negara (B-23), Nafuzi Zain gembira objektif Elite Games yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tercapai selepas berjaya meneliti pemain berpotensi untuk dipanggil dalam kem latihan pusat selepas ini.
Menurut Nafuzi, inisiatif Elite Games perlu diteruskan bagi membolehkan lebih ramai pemain yang sebelum ini tidak dapat ruang untuk menyerlah dapat menunjukkan kebolehan masing-masing.
“Semua pemain ini mempunyai potensi sendiri cuma mungkin peluang dan ruang itu terhad. Senarai yang dipanggil kebanyakannya ada yang tidak pernah bermain untuk bawah-20, bawah-23, malah ada yang kali pertama untuk pasukan kebangsaan.
“Jadi saya rasa satu peluang yang baik untuk mereka. Justeru, Saya rasa memang saya amat berpuas hati dengan Elite Games dan harap inisiatif ini dapat diteruskan.
“Kalau boleh ia berlaku setiap bulan agar kita menilai potensi pemain dengan lebih dekat dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui pada sesi perlawanan pemilihan pemain Elite Games di Stadium Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.
Pada edisi sulung kali ini, seramai 30 pemain telah dipanggil untuk diuji keupayaan sebelum dipilih mengharungi kempen Piala ASEAN B-23 2025 yang akan berlangsung di Jakarta, Julai depan. – KOSMO! ONLINE