PUTRAJAYA – Beberapa syarikat penerbangan antarabangsa termasuk Singapore Airlines dan Turkish Airlines bertindak membatalkan penerbangan ke destinasi di Asia Barat susulan ketegangan konflik yang tercetus antara Iran dan Israel.
Berdasarkan semakan di laman sesawang Singapore Airlines, syarikat penerbangan itu melanjutkan pembatalan penerbangan antara Singapura dan Dubai hingga 25 Jun.
Ia melibatkan penerbangan SQ494 dari Singapura ke Dubai dan penerbangan SQ495 dari Dubai ke Singapura.
Sebelum ini, Singapore Airlines hanya membatalkan perkhidmatan pada 22 Jun selepas serangan Amerika Syarikat ke atas kemudahan nuklear Iran.
Dalam perkembangan sama, Turkish Airlines dan Pegasus turut membatalkan penerbangan ke Jordan dan Lebanon sehingga 30 Jun, manakala destinasi ke Iraq dihentikan sehingga 30 Julai depan.
Semalam, Turkish Airlines turut membatalkan penerbangan ke Bahrain, Dammam, Doha, Dubai, Kuwait, Abu Dhabi dan Muscat.
Air France turut bertindak membatalkan penerbangan ke Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sehingga hari ini, selain menghentikan penerbangan antara Paris-Tel Aviv hingga 14 Julai depan.
Selain itu, Kumpulan Germany Lufthansa termasuk Swiss, Austrian dan ITA turut menghentikan penerbangan ke beberapa laluan di Timur Tengah sehingga 30 Jun ini. – KOSMO! ONLINE