MANCHESTER – Perjalanan Manchester United memburu khidmat penyerang baharu diteruskan apabila dikaitkan dengan perpindahan penggempur Fiorentina, Moise Kean untuk menambah sengat bahagian serangan musim depan.
Menurut laporan, The Red Devils kini semakin serius dalam rundingan dan berada dalam posisi lebih kukuh untuk mendapatkan Kean dengan klausa pelepasan pemain itu bernilai £45 juta (RM269 juta) yang akan aktif Julai ini.
Kean, 24, menjaringkan 25 gol dan tiga bantuan dalam 44 penampilan musim lalu bersama La Viola selepas berhijrah dari Juventus, menjadikan musim debutnya antara yang terbaik.
Namun, rekod Kean di Liga Perdana Inggeris bersama Everton mungkin menimbulkan keraguan apabila dia hanya mampu menjaringkan dua gol dalam 32 aksi liga dan bergelut menyesuaikan diri dengan intensiti bola sepak Inggeris.
Biarpun prestasinya bersama Fiorentina dilihat sangat baik, berdasarkan statistik Kean melepaskan 34 peluang terbaik menjaringkan gol musim lalu dan kehilangan penguasaan bola hampir 10 kali setiap perlawanan menjadikan kemampuannya dipersoalkan.
Beberapa nama seperti Hugo Ekitike dari Eintracht Frankfurt disebut sebagai calon sesuai, namun nilai perpindahannya menjadi penghalang, selain nama Viktor Gyokeres turut berada dalam senarai keutamaan United. – AGENSI