MANCHESTER – Tindakan kurang matang pemain sayap Manchester United, Alejandro Garnacho yang memakai jersi Aston Villa ketika bercuti bakal menjadikan dia sebagai musuh No.1 penyokong setia The Red Devils.
Garnacho yang sedang bercuti di Ibiza, Sepanyol ketika ini memuat naik gambar berkenaan ke media sosial dan ia dianggap sebagai tidak profesional selain menjadi provokasi kepada pasukan itu.
Situasi itu menjadi lebih kecoh apabila jersi dipakai tertera nama penyerang, Marcus Rashford yang disebut-sebut bakal meninggalkan Old Trafford pada jendela perpindahan kali ini selepas dia beraksi bersama Villa musim lalu secara pinjaman.
Dalam pada itu, bekas penyerang Watford, Troy Deeney menyelar sikap Garnacho yang tidak menghormati rakan sepasukan selain menggesa kapten United, Bruno Fernandes supaya mengambil tindakan tegas.
“Anda semua sudah tengok gambar Garnacho memakai jersi Villa dengan nama Rashford. Bagi saya, pemain ini (Garnacho) sudah melampau dan saya tidak sangka dia boleh melakukan tindakan kurang matang.
“Sekiranya saya berada di tempat Bruno Fernandes, saya akan menunggu kepulangan Garnacho dan ‘membelasahnya’ semasa sesi latihan. Saya bukan sekadar bercakap, tetapi itulah yang akan saya lakukan,” katanya.
Difahamkan, pemain Argentina itu melakukan tindakan sedemikian adalah bagi memastikan dia dilepaskan pada jendela perpindahan kali ini, sama seperti Rashford yang dianggap sudah tidak ada masa depan di Old Trafford. – AGENSI